Datuk Seri Najib Tun
Razak hari ini menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya sebagai satu lagi
komitmen beliau terhadap pelaksanaan agenda negara dalam membanteras rasuah
terutamanya semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Perdana Menteri menandatangani
ikrar tersebut sambil disaksikan Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohd. Shukri Abdul dan Presiden
Transperancy International (Malaysia) (TI-M), Datuk Paul Low.
Yang turut hadir pada
majlis serba ringkas itu Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin;
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor
dan para pemimpin parti komponen BN.
''Apabila nama calon BN
yang akan bertanding pada PRU-13 diumumkan, saya akan pastikan mereka
menandatangani ikrar tersebut.
''Calon-calon dari parti
komponen BN sudah melalui proses saringan SPRM dan adalah sesuai untuk mereka
mengambil komitmen menandatangani ikrar integriti untuk pilihan raya yang
bersih dan adil," katanya di sini.
Menurut Perdana Menteri,
tanggungjawab memenuhi ikrar tersebut terletak di atas bahu mereka yang telah
menurunkan tandatangan.
''Dan adalah menjadi hak
rakyat untuk memastikan wakil rakyat terbabit berpegang kepada akujanji yang
telah dibuat, justeru itu, marilah kita bekerjasama ke arah mengukuhkan proses
pilihan raya," katanya.
Maklumat terperinci
berhubung akujanji itu boleh diperoleh menerusi laman sesawang TI-M. Orang
ramai akan bertanggungjawab menjadi mata dan telinga untuk memantau kepatuhan
wakil rakyat masing-masing memenuhi piawaian itu.
Maklum balas boleh
disalurkan menerusi akaun Facebook calon atau Twitter wakil rakyat terbabit.
Ikrar Integriti yang
digerakkan TI-M adalah kontrak sosial yang ditandatangani secara sukarela oleh mana-mana
calon yang akan bertanding pada PRU kelak.
Antara lain calon akan
berikrar mengangkat integriti, tadbir urus yang baik, ketelusan dan
akauntabiliti di peringkat negeri dan persekutuan serta menegakkan kedaulatan
undang-undang.
Sementara itu, Paul
ketika bercakap kepada pemberita berkata, pelaksanaan ikrar tersebut
membolehkan rakyat memantau pemimpin yang benar-benar mematuhi prinsip dan
berintegriti.
''Langkah ini akan
menggalakkan rakyat untuk mengambil tahu tingkah laku serta perbuatan individu
yang telah menandatangani ikrar malah rakyat juga boleh berkomunikasi dengan
mereka,'' katanya.
Katanya, Malaysia adalah
negara pertama dalam kalangan komuniti TI yang menandatangani ikrar tersebut
sekali gus menjadi contoh kepada usaha memerangi rasuah yang dimulakan di
peringkat atasan.
''Kami gembira kerana
Datuk Seri Najib secara personal komited menandatangani komitmen beliau sendiri
terhadap ikrar ini,'' katanya.
Menurut Paul, pihaknya
akan menggalakkan semua calon tanpa mengira parti untuk menandatangani ikrar
tersebut bagi melihat sejauh mana komitmen mereka dalam mengangkat integriti
dan ketelusan.
Setakat ini 20 individu
telah menandatangani ikrar yang dibuat secara sukarela tanpa ada kaitan dengan
kerajaan atau mana-mana parti politik. - Utusan
No comments:
Post a Comment