Akhir-akhir ini, UMNO
begitu giat mendekati golongan Ulama selain mengadakan program-program berunsur
agama termasuk yang melibatkan Ulama tersohor dari luar negara.
‘Pembaharuan’ yang dibuat oleh UMNO ini membuktikan betapa UMNO serius dalam
memperbaiki diri serta mengambil berat tanggungjawabnya mempertahankan kesucian
agama Islam, kesejahteraan Umat Melayu serta sebagai ‘pengawal benteng’
kedudukan Melayu dan Islam iaitu Institusi Raja-raja Melayu.
Walaupun begitu,
UMNO tidak pernah mempergunakan agama untuk kepentingan politik.
Tetapi, di masa yang sama UMNO sentiasa meminta pandangan dan mengalu-alukan
penyertaan agamawan bagi memperkukuhkan ‘keperibadian’ UMNO itu sendiri.
Malah, kini desas desus bahawa UMNO bakal menyenaraikan beberapa Ulama sebagai
calon PRU-13 semakin kuat kedengaran.
Antara yang
disebut-sebut adalah beberapa personaliti yang cukup dikenali di dalam Ulama
Muda Umno (ILMU), termasuk Ustaz Fathul Bari Mat Jahaya.
ILMU menampilkan
golongan agamawan yang membawa pendekatan professional dalam berdakwah iaitu
dengan membawa hujah-hujah akademik dan seruan ke arah perpaduan dan kemajuan
bagi membawa ummah ke arah budaya yang canggih agar lebih relevan dengan dunia
hari ini.
Namun, di masa
yang sama kita sedar bahawa pendekatan sebegini nampaknya masih sukar untuk
menarik minat segolongan besar masyarakat Islam yang sudah terlalu asyik dengan
pendekatan dakwah ringan, remeh dan cetek iaitu, secara bidas, sindir, umpat,
kutuk dan cela di mana pada dasarnya mengajak kepada perpepecahan, selain
mengingkari ajaran Islam yang melarang kita mengambil alih kerja Allah SWT
untuk menghukum dan menilai manusia lain.
Oleh itu,
tinggilah harapan kita sekiranya ada di antara agamawan di dalam ILMU menceburi
politik secara langsung agar dapat mengubah cara pemikiran masyarakat Islam di
Malaysia.
Selain ILMU,
khabar angin juga membawa beberapa nama lain yang berpotensi dalam arena
politik UMNO, seperti Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya dan Ustazah Norbahiyah serta
beberapa yang lain.
Jika semua khabar
angin ini benar, maka, satu perkara pokok yang wajar difahami ialah sekiranya
para Ulama ini menceburi politik maka tugas mereka bukan sahaja terhad kepada
bidang dakwah dan permasalahan agama, tetapi yang lebih penting ialah mereka
wajib untuk mempunyai skil untuk mentadbir dan memahami sedikit sebanyak
selok-belok ekonomi.
Kita tidak mahu
kawasan yang diterajui mereka menjadi seperti Kelantan, yang selamanya mundur
di bawah pemerintahan ‘Ulama’. Kita tidak mahu nama ‘Ulama’ atau ‘Islam’
diperlekeh hanya kerana mereka tidak mampu menjalankan tugas sebagai wakil
rakyat dengan baik.
Apa yang menarik
mengenai kesungguhan UMNO untuk memperbaiki diri dengan mendekati Islam ialah
hakikat bahawa saingan paling sengit parti ini, iaitu PAS pula mengambil
langkah yang seratus-peratus bertentangan. Sejak bekerjasama dengan
DAP dan PKR, PAS bertungkus lumus cuba menampilkan imej yang terbuka, sekali
gus meninggalkan imej ekstrem yang menjadi pakaian parti itu.
PAS berbangga
dengan artis-artis yang memilih untuk bersama PAS dan di masa yang sama, cuba
menggambarkan Ulama PAS sebagai sederhana. PAS juga tidak segan
silu melonjakkan artis-artis kurang cerdik dan bermasalah seperti Bob Lokman,
Abby Abadi atau Aishah sebagai ‘ikon’ mengatasi Ulama mereka. Artis-artis
ini diusung ke hulu ke hilir untuk berceramah mengajar orang lain mengenai
agama, iaitu sesuatu yang baru sahaja ditemui mereka.
Akibatnya,
keluarlah segala karut marut dari mulut artis-artis bingung ini seperti menuduh
orang lain sebagai kafir, serta ada juga yang begitu ‘takbur’ sehingga mencabar
dan berdebat dengan Ulama, hanya kerana Ulama tersebut tidak menyokong PAS.
PAS menampilkan
artis-artis ini sebagai ‘bukti’ keberkesanan tarbiyah mereka.
Walhal, apa yang terbukti sebenarnya hanyalah kejahilan artis-artis
tersebut, serta kerakusan Ulama PAS yang sanggup membiarkan si jahil
menyesatkan orang lain demi kepentingan politik PAS.
Namun, melihat
dari kesungguhan PAS untuk membuktikan keterbukaan parti tersebut, tidak
mustahil PAS akan meletakkan artis-artis ini sebagai calon PRU-13.
Jika benar, rakyat
Malaysia bolehlah menyaksikan kempen pilihanraya paling meriah dalam sejarah
apabila ceramah Ulama UMNO bertembung dengan ceramah artis PAS. - Isuhot.com
No comments:
Post a Comment