Sunday 14 October 2012

Dataran 1Malaysia Pantai Klebang Menjadi Tarikan Pengunjung

Melihat puluhan kereta yang berpelekat nombor di pintunya memasuki kawasan rekreasi Pantai Klebang menimbulkan rasa teruja kepada penulis serta pengunjung lain yang sedang beriadah di kawasan itu. Apatah lagi apabila melihatkan kereta-kereta tersebut disusun cantik berbentuk huruf U di hadapan tugu Dataran 1Malaysia Pantai Klebang.

Apabila diintai-intai dan dirisik-risik, rupa-rupanya kesemua kereta berjenama Subaru tersebut sedang mengadakan siri konvoi dari Kuala Lumpur ke Port Dickson.

Konvoi Kelab Subaru Malaysia yang disertai seramai 130 orang peserta menurut kata presidennya, Encik Sham, singgah seketika untuk bergambar di kawasan lapang berlatarbelakangkan tugu 1Malaysia sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi terakhir konvoi. 

Jika hendak diikutkan jarak, Port Dickson adalah lebih dekat dengan Kuala Lumpur berbanding Pantai Klebang. Namun, disebabkan keindahan dan keistimewaan yang terdapat di salah sebuah pantai yang sedang pesat dibangunkan, ia menjadi tarikan kepada ahli kelab tersebut untuk dilawati.


Tambahan pula di Dataran 1Malaysia Pantai Klebang ini ramai pengunjung mengambil kesempatan beriadah bersama keluarga dan bermain layang-layang.

Faktor kawasan yang lapang di tepi pantai dan angin yang sentiasa bertiup mampu memberikan keselesaan kepada peminat layang-layang untuk menunjukkan skil dan kepakaran bermain layang-layang masing-masing.

Jika tidak kerana kesuntukan masa berada di negeri Melaka Bandaraya Bersejarah ini, sudah pasti penulis akan menghabiskan lebih banyak masa di Dataran 1Malaysia Pantai Klebang ini untuk menghayati keindahan dan merasai pengalaman bermain layang-layang.

Jika para pembaca berkesempatan, luangkan sedikit masa untuk membawa keluarga beriadah dan merasai sendiri pengalaman bermain layang-layang di tepi pantai.