Monday 5 December 2011

Bahasa SMS - Ringkas, Mudah Tapi Rosak

A : Watpe tu? Cbuk ke?

B : X la. Ngah mam.

Membaca pesanan ringkas antara A dan B di telefon bimbit adik yang berusia belasan tahun menyebabkan Anak Merdeka kepeningan. Tidak dinafikan, bahasa SMS menjimatkan masa dan ruang namun jika tidak pandai dibezakan penggunaan, ia boleh memberi kesan buruk kepada para remaja terutama bagi mereka yang masih bersekolah.

Bahasa SMS tidak salah digunakan untuk tujuan tidak formal seperti perbualan bersama rakan-rakan namun jika digunakan di dalam penulisan, ia sudah merosakkan keindahan Bahasa Malaysia. Terdapat juga guru-guru yang mengeluh apabila memeriksa kertas karangan anak murid mereka yang menggunakan bahasa SMS di dalam karangan mereka.

Semakin canggih teknologi, semakin terdedah remaja kepada kerosakan. Dahulu, sebelum telefon bimbit dicipta, para remaja tidak pandai menggunakan bahasa yang seringkas itu. Paling tidak pun, perkataan yang diringkaskan hanya dibuang satu dua huruf sahaja, masih tidak lari dari ejaan asalnya namun kini rata-rata perkataan yang diringkaskan menjadi rosak.

Anak Merdeka akui sangat minat membaca terutamanya novel. Tidak kira novel tersebut sudah diterbitkan sebagai bahan bercetak mahupun ianya hanya boleh  dibaca secara atas talian, namun penggunakan perkataan oleh penulisnya sangat Anak Merdeka titikberatkan. Walaupun ramai yang mengatakan cerita yang ditulis itu sangat menarik, jika bahasa yang digunakan oleh penulisnya bercampur aduk dan rosak, Anak Merdeka tidak akan membacanya sama sekali.

Bahasa Malaysia itu mudah. Bahasa Malaysia itu indah. Sama-samalah kita menggunakan Bahasa Malaysia yang betul supaya ia tidak rosak dan keindahannya kekal terpelihara.

Anjing : Haiwan Peliharaan Yang Berguna Tapi Merbahaya

Semalam akhbar Harian Metro ada melaporkan tentang kanak-kanak di Puchong yang diserang oleh anjing peliharaan jirannya sehingga menyebabkan betisnya terpaksa dibedah. Kejadian sama pernah juga berlaku di beberapa tempat lain malahan ada juga sehingga melibatkan kehilangan nyawa. Ada juga kemalangan yang berlaku  membabitkan penunggang motosikal disebabkan terlanggar anjing yang berkeliaran di atas jalanraya.

Tidak salah jika hendak memelihara anjing sebagai haiwan peliharaan. Selain daripada ianya boleh dijadikan teman kepada sesiapa yang sukakan haiwan tersebut, ia juga boleh ditugaskan untuk mengawal keselamatan tempat kediaman. Dengan salakannya yang mampu membuatkan orang terjaga daripada tidur, ia boleh menjadi pengawal keselamatan yang baik kepada pemiliknya.

Namun begitu, keselamatan orang awam dan jiran tetangga terutamanya kanak-kanak harus diambil kira jika seseorang itu hendak memelihara haiwan tersebut. Haiwan tersebut haruslah dipastikan terikat atau sentiasa berada di dalam kawasan kediaman berpagar pemiliknya supaya ia tidak sewenangnya menyerang orang awam yang lalu lalang. Haiwan tersebut juga tidak boleh dibiarkan lepas bebas berkeliaran di kawasan perumahan untuk mengelakkan berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini.

Beberapa tahun dahulu pernah berlaku siri kejadian serangan anjing terhadap orang awam terutamanya kanak-kanak sehingga menyebabkan kecederaan yang parah kepada mangsa. Rentetan siri kejadian tersebut, pihak berkenaan terutamanya Majlis Perbandaran menjalankan kerja-kerja pelupusan haiwan tersebut yang lepas bebas berkeliaran sama ada mempunyai pemilik ataupun tidak. Ketika itu, kebanyakan pemilik haiwan tersebut menjaga haiwan peliharaan mereka supaya tidak berkeliaran dan ditangkap oleh pihak berkuasa tempatan. Keselamatan kanak-kanak juga orang awam daripada serangan anjing terjamin ketika itu namun kini setelah beberapa tahun, kejadian sama berlaku lagi.

Adakah setiap kali berlaku kejadian serangan ataupun kemalangan yang disebabkan oleh haiwan tersebut baru pihak berkuasa tempatan hendak mengambil tindakan menangkap anjing yang berkeliaran? Adakah pemilik haiwan tersebut hanya memastikan anjing peliharaannya itu tidak bebas berkeliaran hanya ketika pihak berkuasa tempatan menjalankan tindakan penangkapan anjing liar?

Saturday 26 November 2011

Balut Pun Tak Guna!

Anak Merdeka sedang menunggu televisyen menyiarkan rancangan Wonderpet dengan rasa teruja. Tiba-tiba hujan turun. Bermula dengan gerimis dan semakin lama semakin lebat. Seperti biasa jika hujan turun, siaran televisyen pasti akan terganggu. 

Kawan-kawan ada yang beri cadangan. Mereka kata, kalau dibalut dengan plastik atau ditutup 'receiver' yang terdapat di piring Astro tersebut dengan botol plastik yang telah dipotong, siaran tidak akan terganggu. Sebenarnya Anak Merdeka juga terikut cadangan mereka. Anak Merdeka sudah pun membalut dengan plastik tetapi masih juga mengalami gangguan.

Memanglah. Walaupun bayaran semakin mahal dan cukai juga semakin naik, siaran masih juga tidak naik tarafnya. Pengguna masih juga mengalami gangguan siaran jika hari hujan. 

Friday 25 November 2011

Bagus Juga Kalau Dipraktikkan Di Malaysia!

Utusan Malaysia melaporkan berita mengenai sebuah bandar di Sierra Leone yang menawarkan biasiswa selama lima tahun untuk pelajar perempuan yang menyimpan keperawanan sehingga mereka menamatkan pengajian di universiti.

Menurut Pengerusi Perbandaran Bo, Mathew Margao, sasaran tawaran biasiswa tersebut bagi mengurangkan kes kehamilan remaja dengan memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus pelajar sekolah kekal dara sehingga mereka menamatkan pelajaran. Majlis perbandaran akan mendapatkan khidmat pegawai perubatan wanita untuk memeriksa mereka bagi membuktikan keperawanan mereka.

Bagus juga jika dipraktikkan di Malaysia. Sudah tentu ramai anak-anak gadis yang akan menjaga keperawanan mereka terutamanya mereka yang berasal dari kampung. Seperti yang banyak kita lihat sekarang, ramai anak gadis yang berasal dari kampung mengalami kejutan budaya. Bertudung litup dan begitu menjaga tata susila ketika di kampung tetapi apabila belajar dan menetap di bandar, mereka lupa diri. Mengikut teman lelaki hingga tergadai maruah diri dan terabai pelajaran. Bahkan ada yang sampai menjadi teman social kepada golongan VIP.

Gejala sosial seperti hamil luar nikah dan pembuangan bayi sudah pasti dapat dikurangkan statistiknya sekaligus mengurangkan kadar jenayah. Ini sudah pasti akan menjadikan Malaysia yang selama ini terkenal sebagai sebuah negara Islam dan terkenal dengan kesopanan serta keharmonian masyarakat pelbagai kaumnya dipandang tinggi oleh negara luar.

Edisi Terhad?


Beberapa hari ini saya ada menghantar artikel ke sebuah laman web di atas permintaan salah seorang penceramahnya. Saya akui agak aktif juga menghantar artikel ke situ. Baru 3 hari sudah 6 artikel tersiar. Ini berlaku kerana saya memang suka memerhati dan sangat minat menulis.

Tetapi sejak semalam, saya tidak tahu kenapa tidak boleh lagi menghantar artikel ke situ. Apabila saya klik 'hantar artikel', ruangan tersebut menjadi kosong. Tiada pula sebarang pemberitahuan di situ. Pelik pula. Mungkinkah seseorang itu dihadkan berbuat begitu?

Buat masa ini, saya sudah menyiapkan satu artikel yang saya petik dari laporan sebuah akhbar. Ia berkaitan dengan gejala sosial masa kini. Hurm... Mungkin terpaksa kongsikan di sini sahaja.

Wednesday 23 November 2011

Gangguan Tiga Daerah

Syabas kata, bekalan air di daerah Shah Alam, Klang dan Hulu Langat akan terganggu buat sementara waktu pada hujung November dan awal Disember nanti. Ini adalah kerana pihak Syabas melakukan kerja-kerja menaiktaraf sistem bekalan air.

Harap-harapnya lepas dinaiktaraf nanti, air yang dibekalkan kepada rakyat Selangor terutama di tiga daerah yang dinyatakan itu akan lebih terjamin dan selamat untuk diminum. Semoga tiada lagi karat yang lebih banyak daripada air seperti sekarang ini. Begitu juga dengan tekanan airnya. Semoga tekanannya lebih kuat daripada sekarang.


Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional


Kelmarin dengar khabarnya pinjaman PTPTN hanya akan diberikan kepada pelajar untuk membiayai yuran pengajian semata-mata. Tiada lagi untuk perbelanjaan sara hidup semasa mereka menuntut. Semua ini disebabkan oleh kerugian yang ditanggung oleh pihak Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional akibat pinjaman tidak berbayar dari peminjam terdahulu.

Penulis tidak menyokong mahupun membangkang keputusan yang ingin dibuat oleh pihak Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional ini kerana mereka lebih tahu jalan penyelesaian yang harus diambil untuk kebaikan mereka. Namun, penulis merasa kasihan kepada bakal peminjam yang berasal daripada kampung-kampung di pedalaman.

Bagaimana mereka hendak meneruskan pembelajaran dengan tenang jika tiada duit untuk makan? Ya, mereka mungkin boleh membuat kerja sambilan untuk menampung kos sara hidup sekiranya ibubapa mereka tidak dapat mengirimkan wang perbelanjaan kepada mereka tetapi tidakkah ini akan menyebabkan tumpuan mereka kepada pembelajaran akan sedikit terganggu?

Jika anak-anak orang berada ataupun mempunyai ibubapa yang mempunyai pendapatan tetap setiap bulan tidak mengapalah jika tidak mendapat perbelanjaan sara hidup ini. Ibubapa mereka tentu mampu hendak memberi wang belanja kepada mereka. Bagaimana jika ibubapa mereka penoreh getah dan tempat mereka dilanda hujan sepanjang masa? Tidakkah ini akan memberi masalah kepada mereka?

Duit juga boleh menjadi punca kejadian jenayah. Orang menyamun, ragut dan merompak kerana duit. Orang membunuh juga adakalanya kerana duit. Adakah kita mahu lihat ada antara pelajar kita yang meragut hanya kerana hendak mendapatkan duit bagi membeli makanan?

Untuk itu, penulis menyeru kepada peminjam yang sudah menamatkan pengajian dan sudah bekerja, silalah bayar pinjaman anda supaya bakal pelajar selepas anda dapat diberi pembiayaan pula.

Sudah Sampai Musim Banjir!

Kisah air lagi. Hehehe...

Kawasan Pantai Timur dan banjir tidak dapat dipisahkan. Saban tahun kawasan ini pasti akan dilimpahi air terutama pada akhir tahun.

Bermula pada bulan Oktober, hujan pasti mencurah dan membasahi bumi. Setiap hari tidak kira pagi, petang mahupun malam, hujan pasti akan turun dan adakalanya tidak berhenti dari pagi membawa ke malam.

Ketika inilah aspek keselamatan sangat perlu dititikberatkan oleh setiap orang kerana golongan yang sangat suka pada keadaan ini adalah kanak-kanak. Mereka sudah pastinya suka hendak bermain dengan air tanpa menyedari air tersebut boleh mendatangkan bahaya kepada mereka. Bukan sahaja dibimbangi akan lemas malahan penyakit juga mudah mendatangi mereka.

Taun ataupun nama saintifiknya Cholera berpunca daripada virus vibrio cholerae yang biasanya tersebar melalui air yang tercemar. Penyakit ini boleh menyebabkan mangsanya cirit-birit, muntah dan kekeringan. Mangsa boleh dirawat namun jika keadaannya teruk, ia mungkin boleh menyebabkan kematian.

Seperti api, air juga sewaktu sedikitnya menjadi kawan dan penghilang dahaga namun jika sudah banyak, ia boleh menjadi pembunuh manusia. Oleh itu, jagalah keselamatan diri dan anak-anak dari bahaya banjir. Beringat sebelum kena supaya tidak menangis kerana leka.

Tuesday 22 November 2011

Air Dan Kehidupan

Air memainkan peranan yang penting di dalam kehidupan manusia. Tanpa makanan, manusia masih boleh meneruskan kehidupan namun tidak dengan ketiadaannya.

Tubuh yang kepanasan boleh menjadi sejuk jika disiram dengan air sejuk. Dahaga boleh dihilangkan dengan meminum air. Api juga boleh dipadamkan dengan curahan air. Air juga boleh menjadi pembunuh. Begitulah hebatnya kuasa air.

Tubuh yang sihat boleh diperolehi dengan makanan dan minuman yang bersih serta berkhasiat. Namun hari ini, ramai orang yang tidak sihat akibat disajikan makanan dan minuman yang tidak bersih. Contohnya bekalan air yang disalurkan ke kediaman di Selangor ini. Airnya sangat kotor dan berkarat.

20 meter padu air yang diberi percuma adakah setimpal dengan harga kesihatan manusia?

Wahai Kerajaan Negeri Selangor, tolonglah bekalkan kami air yang bersih supaya kami boleh kekal sihat.

Akhirnya Mereka Rebah Di Gelanggang Sendiri!

Gollll!!!

Seawal 5 minit masa permainan, pasukan Indonesia sudah berjaya menjaringkan gol pembukaan menerusi tandukan Gunawan Dwi Cahyo. Gamat suasana Stadium Gelora Bung Karno dengan sorak sorai ratusan ribu para penyokong Indonesia. Begitu juga gamatnya sorakan daripada sebuah unit rumah yang didiami oleh beberapa orang warga Indonesia yang sudah bertahun menetap di Malaysia.

Begitu bangganya semua para penyokong Indonesia setelah pasukan mereka berjaya membuka jaringan gol. Namun kegembiraan dan keangkuhan itu tidak bertahan lama apabila pasukan Harimau Muda menerusi Asraruddin Putra berjaya menyamakan kedudukan pada separuh masa yang pertama. Kali ini giliran unit kediaman rakyat Malaysia pula bergema dengan jeritan gol.

Menyaksikan perlawanan yang membuatkan dada berdebar apabila pasukan Indonesia tidak henti-henti melakukan serangan, ditambah dengan sorakan para penyokong mereka yang menenggelamkan sorakan para penyokong Malaysia daripada Team Malaysia yang dibawa khas oleh TM sangat mengujakan. Begitu bersemangat pasukan Indonesia beraksi untuk menundukkan pasukan lawan di hadapan ratusan ribu penyokongnya.

Barisan pemain Harimau Muda berjaya mengheret pasukan Indonesia yang begitu bersemangat untuk meraih kemenangan ke 30 minit masa tambahan. Dengan semangat juang pasukan Harimau Muda yang tinggi walaupun tubuh sudah semakin kehilangan tenaga, pasukan Indonesia terpaksa akur untuk ke sepakan penalti bagi menentukan pemenang.

Akhirnya, mereka rebah di gelanggang sendiri. Kita menang! Ketara riak kesedihan di wajah ratusan ribu penyokong Indonesia dan terserlah riak gembira serta bangga di wajah penyokong Harimau Muda. Tertebus rasanya sakit hati akibat perbuatan segelintir rakyat Indonesia yang begitu kurang ajar melakukan perkara yang tidak sepatutnya terhadap bendera Malaysia.



Monday 21 November 2011

Keluhan Peneroka

Bolehkah pilihanraya mengubah nasib golongan peneroka FELDA?

Ramai peneroka yang mengeluh apabila bantuan sara hidup mereka dihentikan oleh pihak FELDA semenjak September lepas. Ditambah pula dengan ladang sawit yang sebelum ini diselia oleh mereka, dikembalikan semula kepada para peneroka untuk diusahakan sendiri. Kos pengangkutan dan upah pekerja ditanggung sepenuhnya oleh peneroka.

Seliaan yang tidak betul semasa di bawah pengurusan FELDA menyebabkan ladang tidak mengeluarkan hasil yang banyak. Walaupun harga sawit di pasaran boleh dikatakan tinggi, jika dibandingkan dengan kos yang terpaksa ditanggung, berapalah sangat pendapatan bersih yang boleh diperolehi.

Kebanyakan peneroka sudah dikategorikan sebagai warga emas, manalah upaya mereka hendak mengusahakan sendiri ladang seluas 10 ekar tersebut demi mendapat hasil bagi mengisi perut yang merengek meminta makanan. Jika adapun yang mampu mengupah pekerja, berapa kerat sangatlah yang ada. Dengan hasil yang tidak seberapa, jika dikira kos pengangkutan dan upah pekerja, tentu sahaja tidak berbaloi namun kerana tiada upaya, mereka terpaksa berkongsi hasil yang sedikit itu.

Kenapakah pihak FELDA memberhentikan bantuan tersebut hanya disebabkan ketamakan segelintir daripada golongan peneroka ini? Tidakkah boleh mereka lebih prihatin dengan nasib warga emas yang tiada berkemampuan? Haruskah para peneroka bersumpah untuk mengundi Barisan Nasional pada pilihanraya yang akan datang supaya mendapat semula apa yang telah hilang?

Tuesday 15 November 2011

LEPAS KENA CAJ, FLIGHT PULAK DELAY!

Hujan yang turun menyebabkan penerbangan yang dijadualkan berlepas jam 6.05 petang terpaksa ditunda ke pukul 9.35 malam. Bala! Esok paginya sudah kena masuk kerja pula.

Berkampung di ruang menunggu selepas 'check-in' sangatlah meletihkan. Sekejap duduk, sekejap berdiri, sekejap makan, sekejap minum namun semuanya pun tetap meletihkan.

Duduk dan duduk dan duduk lagi sehinggalah pengumuman penerbangan delay lagi sehingga ke jam 10 malam. Serentak dengan usainya pengumuman, bergema jeritan tidak puas hati dari para penumpang yang sama-sama terkandas bersama kami.

Akhirnya, tepat jam 10 malam, kami berangkat balik ke Kuala Lumpur dan tiba di Kuala Lumpur lebih kurang jam 12.30 tengah malam.

KIOSK DAFTAR MASUK DEPA BUAT HAL, KITA JUGAK YANG KENA CAJ!

Jumaat lepas Anak Merdeka mengekor (mengikut) Sifu R yang terlibat memberi penerangan (ceramah) di sebuah negeri yang terletak di dalam Kepulauan Borneo.

Hendak dijadikan cerita, sepatutnya pada pagi tersebut, Anak Merdeka ke Sandakan untuk menghadiri majlis perkahwinan seorang rakan tetapi akibat sedikit salah faham, kami terlepas penerbangan. Menyangkakan penerbangan kami pada jam 10 pagi tetapi rupanya jam 10 pagi itu adalah waktu ketibaan kami di Sandakan. Makanya, sudah ada unsur-unsur kerugian di situ.

Memandangkan kekangan kewangan, kami berbincang, bermasam muka dan membuat beberapa panggilan untuk menyelesaikan masalah tersebut. Akhirnya kami membuat keputusan untuk mengambil tiket penerbangan terus ke Kota Kinabalu.

Kami tidak dapat membuat tempahan awal untuk tiket penerbangan balik melalui atas talian kerana sistem mereka sedang dikemaskini dan hanya membelinya terus di kaunter ketika kami hendak berangkat balik ke Kuala Lumpur.

Setelah mendapat tiket, kami harus membuat daftar masuk di kiosk yang disediakan tetapi malangnya terdapat sedikit masalah yang berlaku ketika kami membuat pendaftaran. Kami diminta ke kaunter tempahan semula.

Arahan demi arahan yang terpaksa kami ikut sehingga membawa kami beratur di kaunter untuk membuat daftar masuk secara manual. Namun yang agak terkilan (sedikit sahaja), mesin mereka yang buat hal, kami juga yang dikenakan caj di mana pendaftaran manual dikenakan bayaran RM10 setiap seorang.

Terpaksa membayar caj yang dikenakan walaupun bukan di atas masalah yang kita timbulkan sendiri, itu bukanlah satu perkara yang menguji kesabaran sehinggalah perkara seterusnya yang berlaku.

Pengumuman!

Ya. Pengumuman yang dibuat oleh pihak mereka menyebabkan kami berkampung di lapangan terbang selama beberapa jam.

Wednesday 28 September 2011

CAKAP SIANG PANDANG-PANDANG!


Itulah dia! Orang tua-tua dahulu pernah berkata, cakap siang pandang-pandang! Ada hikmahnya akan kata-kata tersebut.

Anak Merdeka merujuk laporan akhbar di Berita Harian Online yang mengatakan polis Johor kecewa serta tersinggung dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang baru-baru ini. Lancang sungguh mulutnya.

Di mana-mana pun ada kejadian jenayah. Di mana-mana pun ada kes penculikan. Tidak semestinya di Pulau Pinang sahaja tempat selamat untuk para pelancong datang. Sebagai rakyat Malaysia, beliau tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang sebegitu. Kenyataan yang sebegitu pastinya mengundang persepsi negatif.

Anak Merdeka pernah pergi ke Pulau Pinang menaiki bas sebelum ini. Pada pandangan Anak Merdeka, Pulau Pinang tidaklah seselamat yang dinyatakan oleh Ketua Menterinya itu. Di sana bukan sahaja dibanjiri warga asing, malahan pengusaha basnya juga bersikap seperti lintah darat. Mengambil kesempatan di atas kesempitan orang lain.

Sudahlah Anak Merdeka dikenakan tambang yang mahal, malahan Anak Merdeka terpaksa berjalan jauh untuk mendapatkan bas tersebut. Cuba anda bayangkan apa perasaan Anak Merdeka yang pertama kali datang ke Pulau Pinang, tidak tahu arah tuju dan tiba-tiba sahaja Anak Merdeka disuruh ke sana dan ke sini untuk menaiki bas yang sebelumnya telah dikenakan tambang yang tinggi. Anak Merdeka merasa kecewa dan tidak selamat.

Rasanya jauh lebih mudah ketika Anak Merdeka ke Negeri Johor menaiki bas sebelum ini jika dibandingkan dengan ke Pulau Pinang. Di Negeri Johor, walaupun tiket basnya mahal namun Anak Merdeka tidak perlu ke sini dan ke sana untuk menaiki bas. Semua basnya diletakkan di satu kawasan. Sangat mudah untuk Anak Merdeka mencarinya.

Soal keselamatan, Anak Merdeka tidak mahu pertikaikan kerana di mana-mana sahaja sememangnya kita perlu mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan keselamatan diri kita. Tidak perlu hanya berharap kepada pihak berkuasa untuk menjaga keselamatan kita.

Tuesday 27 September 2011

CERITA TERTANGGUH : ALLAH, GEDIKNYA PEMUDA DAN WANITA UMNO!



Di penghujung Syawal, banyak pihak sama ada secara peribadi mahupun tidak mengadakan rumah terbuka sempena sambutan hari raya. Anak Merdeka juga berpeluang menghadiri beberapa buah rumah terbuka yang diadakan itu. Anak Merdeka menghadirinya bukan kerana kebulurkan makanan yang dihidangkan untuk tetamu tetapi sekadar ingin merasai kemeriahan suasana sambutan rumah terbuka. Almaklumlah, rumah Anak Merdeka tidak pernah mengadakan majlis rumah terbuka waima untuk saudara mara mahupun sahabat handai.

Baru-baru ini, Anak Merdeka menghadiri majlis rumah terbuka yang diadakan oleh UMNO bahagian Ampang. Teruja juga Anak Merdeka ketika dipelawa untuk turut sama menghadirinya. Almaklumlah, Anak Merdeka ini bukanlah seseorang yang suka melibatkan diri dengan politik.

Berbekalkan sebuah kereta dan keinginan yang tinggi, Anak Merdeka pun memulakan perjalanan ke tempat yang telah diberitahu. Sesampainya di sana, setelah Anak Merdeka mengalami sedikit kesulitan di dalam perjalanan, Anak Merdeka dihidangkan dengan suasana meriah, di mana penyanyi jemputan sedang mendendangkan lagu untuk hiburan kepada semua yang hadir. Hati yang sedikit panas pada mulanya berubah menjadi sejuk sedikit.

Anak Merdeka yang agak lapar melalui kawasan khemah di mana makanan sepatutnya dihidangkan tetapi apa yang Anak Merdeka nampak hanyalah para pekerja katering yang sedang mengemaskan tempat tersebut. Di dalam erti kata lain, makanan untuk tetamu sudah habis!

Tidak mengapalah. Memang bukan rezeki Anak Merdeka hendak merasai makanan hasil duit UMNO. Anak Merdeka terus sahaja berdiri di hadapan pentas utama di mana penyanyi sedang menyanyi dan penari kanak-kanak sedang menari di belakang penyanyi yang kecil molek itu. Sedikit lebih kurang sahaja Anak Merdeka nampak antara penyanyi dan penari-penari itu. Sama kecil molek!

Ketiadaan makanan dan hiburan yang disajikan bukanlah sesuatu yang menjadi perhatian Anak Merdeka sangat. Apa yang Anak Merdeka kesalkan sepanjang Anak Merdeka menjadi pemerhati di situ hanyalah sikap segelintir Pemuda dan Wanita UMNO yang tidak segan silu menyanyi dan menari di atas pentas. Gedik! Sangat gedik! Naik menyampah Anak Merdeka melihatnya. Mujur juga Anak Merdeka kelaparan waktu itu. Jika sudah kenyang, berkemungkinan besar Anak Merdeka akan termuntah hijau di situ melihatkan perilaku para perwakilan Pemuda dan Wanita UMNO yang sangat tidak matang itu.

Tiada salahnya hendak berhibur tetapi janganlah menunjukkan sikap tidak matang seperti itu! Jika anda bukan sesiapa, tiada orang yang akan mempertikaikan perbuatan anda tetapi sedarlah kedudukan anda itu sedikit tinggi dari rakyat biasa dan jagalah kehormatan anda!

ENTRI PENGENALAN : AYAM DAN TELUR


Salam buat semua!

Dewasa ini pelbagai kejadian yang tidak diingini telah berlaku di negara kita yang tercinta ini. Bermula dari kisah remaja melarikan diri dari rumah sehinggalah kisah ahli politik yang beraksi panas. Semua kisah yang dipaparkan di dada-dada akhbar mahupun di ruangan siber semakin lama semakin bertambah bilangannya dari sehari ke sehari.

Siapakah yang harus disalahkan di dalam hal ini? Adakah si pelaku ataupun pihak yang mencanangkan kejadian itu kepada pembaca yang harus diletakkan kesalahan apabila kejadian yang sama seperti dilaporkan berlaku pula kepada orang lain?

Anak Merdeka sendiri tidak tahu hendak menyalahkan siapa. Hendak disalahkan pelaku, jika pihak akhbar dan penulis di siber tidak mewar-warkan perkara sama, tidaklah pelaku tahu hendak berbuat begitu. Namun, di dalam masa yang sama, jika pelaku tidak berbuat begitu, bagaimana pihak akhbar dan penulis di siber dapat bahan untuk disebarkan. Kes ini bolehlah diibaratkan seperti ayam dan telur, yang manakah ada dahulu antara ayam dan telur!

Anak Merdeka tamatkan entri kali ini di sini dahulu untuk memberi ruang pembaca berfikir dan juga untuk Anak Merdeka mencari bahan untuk disebarkan. Selamat berfikir!