Monday 21 November 2011

Keluhan Peneroka

Bolehkah pilihanraya mengubah nasib golongan peneroka FELDA?

Ramai peneroka yang mengeluh apabila bantuan sara hidup mereka dihentikan oleh pihak FELDA semenjak September lepas. Ditambah pula dengan ladang sawit yang sebelum ini diselia oleh mereka, dikembalikan semula kepada para peneroka untuk diusahakan sendiri. Kos pengangkutan dan upah pekerja ditanggung sepenuhnya oleh peneroka.

Seliaan yang tidak betul semasa di bawah pengurusan FELDA menyebabkan ladang tidak mengeluarkan hasil yang banyak. Walaupun harga sawit di pasaran boleh dikatakan tinggi, jika dibandingkan dengan kos yang terpaksa ditanggung, berapalah sangat pendapatan bersih yang boleh diperolehi.

Kebanyakan peneroka sudah dikategorikan sebagai warga emas, manalah upaya mereka hendak mengusahakan sendiri ladang seluas 10 ekar tersebut demi mendapat hasil bagi mengisi perut yang merengek meminta makanan. Jika adapun yang mampu mengupah pekerja, berapa kerat sangatlah yang ada. Dengan hasil yang tidak seberapa, jika dikira kos pengangkutan dan upah pekerja, tentu sahaja tidak berbaloi namun kerana tiada upaya, mereka terpaksa berkongsi hasil yang sedikit itu.

Kenapakah pihak FELDA memberhentikan bantuan tersebut hanya disebabkan ketamakan segelintir daripada golongan peneroka ini? Tidakkah boleh mereka lebih prihatin dengan nasib warga emas yang tiada berkemampuan? Haruskah para peneroka bersumpah untuk mengundi Barisan Nasional pada pilihanraya yang akan datang supaya mendapat semula apa yang telah hilang?

No comments:

Post a Comment