Wednesday 23 November 2011

Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional


Kelmarin dengar khabarnya pinjaman PTPTN hanya akan diberikan kepada pelajar untuk membiayai yuran pengajian semata-mata. Tiada lagi untuk perbelanjaan sara hidup semasa mereka menuntut. Semua ini disebabkan oleh kerugian yang ditanggung oleh pihak Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional akibat pinjaman tidak berbayar dari peminjam terdahulu.

Penulis tidak menyokong mahupun membangkang keputusan yang ingin dibuat oleh pihak Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional ini kerana mereka lebih tahu jalan penyelesaian yang harus diambil untuk kebaikan mereka. Namun, penulis merasa kasihan kepada bakal peminjam yang berasal daripada kampung-kampung di pedalaman.

Bagaimana mereka hendak meneruskan pembelajaran dengan tenang jika tiada duit untuk makan? Ya, mereka mungkin boleh membuat kerja sambilan untuk menampung kos sara hidup sekiranya ibubapa mereka tidak dapat mengirimkan wang perbelanjaan kepada mereka tetapi tidakkah ini akan menyebabkan tumpuan mereka kepada pembelajaran akan sedikit terganggu?

Jika anak-anak orang berada ataupun mempunyai ibubapa yang mempunyai pendapatan tetap setiap bulan tidak mengapalah jika tidak mendapat perbelanjaan sara hidup ini. Ibubapa mereka tentu mampu hendak memberi wang belanja kepada mereka. Bagaimana jika ibubapa mereka penoreh getah dan tempat mereka dilanda hujan sepanjang masa? Tidakkah ini akan memberi masalah kepada mereka?

Duit juga boleh menjadi punca kejadian jenayah. Orang menyamun, ragut dan merompak kerana duit. Orang membunuh juga adakalanya kerana duit. Adakah kita mahu lihat ada antara pelajar kita yang meragut hanya kerana hendak mendapatkan duit bagi membeli makanan?

Untuk itu, penulis menyeru kepada peminjam yang sudah menamatkan pengajian dan sudah bekerja, silalah bayar pinjaman anda supaya bakal pelajar selepas anda dapat diberi pembiayaan pula.

No comments:

Post a Comment