Wednesday 28 September 2011

CAKAP SIANG PANDANG-PANDANG!


Itulah dia! Orang tua-tua dahulu pernah berkata, cakap siang pandang-pandang! Ada hikmahnya akan kata-kata tersebut.

Anak Merdeka merujuk laporan akhbar di Berita Harian Online yang mengatakan polis Johor kecewa serta tersinggung dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang baru-baru ini. Lancang sungguh mulutnya.

Di mana-mana pun ada kejadian jenayah. Di mana-mana pun ada kes penculikan. Tidak semestinya di Pulau Pinang sahaja tempat selamat untuk para pelancong datang. Sebagai rakyat Malaysia, beliau tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang sebegitu. Kenyataan yang sebegitu pastinya mengundang persepsi negatif.

Anak Merdeka pernah pergi ke Pulau Pinang menaiki bas sebelum ini. Pada pandangan Anak Merdeka, Pulau Pinang tidaklah seselamat yang dinyatakan oleh Ketua Menterinya itu. Di sana bukan sahaja dibanjiri warga asing, malahan pengusaha basnya juga bersikap seperti lintah darat. Mengambil kesempatan di atas kesempitan orang lain.

Sudahlah Anak Merdeka dikenakan tambang yang mahal, malahan Anak Merdeka terpaksa berjalan jauh untuk mendapatkan bas tersebut. Cuba anda bayangkan apa perasaan Anak Merdeka yang pertama kali datang ke Pulau Pinang, tidak tahu arah tuju dan tiba-tiba sahaja Anak Merdeka disuruh ke sana dan ke sini untuk menaiki bas yang sebelumnya telah dikenakan tambang yang tinggi. Anak Merdeka merasa kecewa dan tidak selamat.

Rasanya jauh lebih mudah ketika Anak Merdeka ke Negeri Johor menaiki bas sebelum ini jika dibandingkan dengan ke Pulau Pinang. Di Negeri Johor, walaupun tiket basnya mahal namun Anak Merdeka tidak perlu ke sini dan ke sana untuk menaiki bas. Semua basnya diletakkan di satu kawasan. Sangat mudah untuk Anak Merdeka mencarinya.

Soal keselamatan, Anak Merdeka tidak mahu pertikaikan kerana di mana-mana sahaja sememangnya kita perlu mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan keselamatan diri kita. Tidak perlu hanya berharap kepada pihak berkuasa untuk menjaga keselamatan kita.

Tuesday 27 September 2011

CERITA TERTANGGUH : ALLAH, GEDIKNYA PEMUDA DAN WANITA UMNO!



Di penghujung Syawal, banyak pihak sama ada secara peribadi mahupun tidak mengadakan rumah terbuka sempena sambutan hari raya. Anak Merdeka juga berpeluang menghadiri beberapa buah rumah terbuka yang diadakan itu. Anak Merdeka menghadirinya bukan kerana kebulurkan makanan yang dihidangkan untuk tetamu tetapi sekadar ingin merasai kemeriahan suasana sambutan rumah terbuka. Almaklumlah, rumah Anak Merdeka tidak pernah mengadakan majlis rumah terbuka waima untuk saudara mara mahupun sahabat handai.

Baru-baru ini, Anak Merdeka menghadiri majlis rumah terbuka yang diadakan oleh UMNO bahagian Ampang. Teruja juga Anak Merdeka ketika dipelawa untuk turut sama menghadirinya. Almaklumlah, Anak Merdeka ini bukanlah seseorang yang suka melibatkan diri dengan politik.

Berbekalkan sebuah kereta dan keinginan yang tinggi, Anak Merdeka pun memulakan perjalanan ke tempat yang telah diberitahu. Sesampainya di sana, setelah Anak Merdeka mengalami sedikit kesulitan di dalam perjalanan, Anak Merdeka dihidangkan dengan suasana meriah, di mana penyanyi jemputan sedang mendendangkan lagu untuk hiburan kepada semua yang hadir. Hati yang sedikit panas pada mulanya berubah menjadi sejuk sedikit.

Anak Merdeka yang agak lapar melalui kawasan khemah di mana makanan sepatutnya dihidangkan tetapi apa yang Anak Merdeka nampak hanyalah para pekerja katering yang sedang mengemaskan tempat tersebut. Di dalam erti kata lain, makanan untuk tetamu sudah habis!

Tidak mengapalah. Memang bukan rezeki Anak Merdeka hendak merasai makanan hasil duit UMNO. Anak Merdeka terus sahaja berdiri di hadapan pentas utama di mana penyanyi sedang menyanyi dan penari kanak-kanak sedang menari di belakang penyanyi yang kecil molek itu. Sedikit lebih kurang sahaja Anak Merdeka nampak antara penyanyi dan penari-penari itu. Sama kecil molek!

Ketiadaan makanan dan hiburan yang disajikan bukanlah sesuatu yang menjadi perhatian Anak Merdeka sangat. Apa yang Anak Merdeka kesalkan sepanjang Anak Merdeka menjadi pemerhati di situ hanyalah sikap segelintir Pemuda dan Wanita UMNO yang tidak segan silu menyanyi dan menari di atas pentas. Gedik! Sangat gedik! Naik menyampah Anak Merdeka melihatnya. Mujur juga Anak Merdeka kelaparan waktu itu. Jika sudah kenyang, berkemungkinan besar Anak Merdeka akan termuntah hijau di situ melihatkan perilaku para perwakilan Pemuda dan Wanita UMNO yang sangat tidak matang itu.

Tiada salahnya hendak berhibur tetapi janganlah menunjukkan sikap tidak matang seperti itu! Jika anda bukan sesiapa, tiada orang yang akan mempertikaikan perbuatan anda tetapi sedarlah kedudukan anda itu sedikit tinggi dari rakyat biasa dan jagalah kehormatan anda!

ENTRI PENGENALAN : AYAM DAN TELUR


Salam buat semua!

Dewasa ini pelbagai kejadian yang tidak diingini telah berlaku di negara kita yang tercinta ini. Bermula dari kisah remaja melarikan diri dari rumah sehinggalah kisah ahli politik yang beraksi panas. Semua kisah yang dipaparkan di dada-dada akhbar mahupun di ruangan siber semakin lama semakin bertambah bilangannya dari sehari ke sehari.

Siapakah yang harus disalahkan di dalam hal ini? Adakah si pelaku ataupun pihak yang mencanangkan kejadian itu kepada pembaca yang harus diletakkan kesalahan apabila kejadian yang sama seperti dilaporkan berlaku pula kepada orang lain?

Anak Merdeka sendiri tidak tahu hendak menyalahkan siapa. Hendak disalahkan pelaku, jika pihak akhbar dan penulis di siber tidak mewar-warkan perkara sama, tidaklah pelaku tahu hendak berbuat begitu. Namun, di dalam masa yang sama, jika pelaku tidak berbuat begitu, bagaimana pihak akhbar dan penulis di siber dapat bahan untuk disebarkan. Kes ini bolehlah diibaratkan seperti ayam dan telur, yang manakah ada dahulu antara ayam dan telur!

Anak Merdeka tamatkan entri kali ini di sini dahulu untuk memberi ruang pembaca berfikir dan juga untuk Anak Merdeka mencari bahan untuk disebarkan. Selamat berfikir!