Monday 5 December 2011

Bahasa SMS - Ringkas, Mudah Tapi Rosak

A : Watpe tu? Cbuk ke?

B : X la. Ngah mam.

Membaca pesanan ringkas antara A dan B di telefon bimbit adik yang berusia belasan tahun menyebabkan Anak Merdeka kepeningan. Tidak dinafikan, bahasa SMS menjimatkan masa dan ruang namun jika tidak pandai dibezakan penggunaan, ia boleh memberi kesan buruk kepada para remaja terutama bagi mereka yang masih bersekolah.

Bahasa SMS tidak salah digunakan untuk tujuan tidak formal seperti perbualan bersama rakan-rakan namun jika digunakan di dalam penulisan, ia sudah merosakkan keindahan Bahasa Malaysia. Terdapat juga guru-guru yang mengeluh apabila memeriksa kertas karangan anak murid mereka yang menggunakan bahasa SMS di dalam karangan mereka.

Semakin canggih teknologi, semakin terdedah remaja kepada kerosakan. Dahulu, sebelum telefon bimbit dicipta, para remaja tidak pandai menggunakan bahasa yang seringkas itu. Paling tidak pun, perkataan yang diringkaskan hanya dibuang satu dua huruf sahaja, masih tidak lari dari ejaan asalnya namun kini rata-rata perkataan yang diringkaskan menjadi rosak.

Anak Merdeka akui sangat minat membaca terutamanya novel. Tidak kira novel tersebut sudah diterbitkan sebagai bahan bercetak mahupun ianya hanya boleh  dibaca secara atas talian, namun penggunakan perkataan oleh penulisnya sangat Anak Merdeka titikberatkan. Walaupun ramai yang mengatakan cerita yang ditulis itu sangat menarik, jika bahasa yang digunakan oleh penulisnya bercampur aduk dan rosak, Anak Merdeka tidak akan membacanya sama sekali.

Bahasa Malaysia itu mudah. Bahasa Malaysia itu indah. Sama-samalah kita menggunakan Bahasa Malaysia yang betul supaya ia tidak rosak dan keindahannya kekal terpelihara.

Anjing : Haiwan Peliharaan Yang Berguna Tapi Merbahaya

Semalam akhbar Harian Metro ada melaporkan tentang kanak-kanak di Puchong yang diserang oleh anjing peliharaan jirannya sehingga menyebabkan betisnya terpaksa dibedah. Kejadian sama pernah juga berlaku di beberapa tempat lain malahan ada juga sehingga melibatkan kehilangan nyawa. Ada juga kemalangan yang berlaku  membabitkan penunggang motosikal disebabkan terlanggar anjing yang berkeliaran di atas jalanraya.

Tidak salah jika hendak memelihara anjing sebagai haiwan peliharaan. Selain daripada ianya boleh dijadikan teman kepada sesiapa yang sukakan haiwan tersebut, ia juga boleh ditugaskan untuk mengawal keselamatan tempat kediaman. Dengan salakannya yang mampu membuatkan orang terjaga daripada tidur, ia boleh menjadi pengawal keselamatan yang baik kepada pemiliknya.

Namun begitu, keselamatan orang awam dan jiran tetangga terutamanya kanak-kanak harus diambil kira jika seseorang itu hendak memelihara haiwan tersebut. Haiwan tersebut haruslah dipastikan terikat atau sentiasa berada di dalam kawasan kediaman berpagar pemiliknya supaya ia tidak sewenangnya menyerang orang awam yang lalu lalang. Haiwan tersebut juga tidak boleh dibiarkan lepas bebas berkeliaran di kawasan perumahan untuk mengelakkan berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini.

Beberapa tahun dahulu pernah berlaku siri kejadian serangan anjing terhadap orang awam terutamanya kanak-kanak sehingga menyebabkan kecederaan yang parah kepada mangsa. Rentetan siri kejadian tersebut, pihak berkenaan terutamanya Majlis Perbandaran menjalankan kerja-kerja pelupusan haiwan tersebut yang lepas bebas berkeliaran sama ada mempunyai pemilik ataupun tidak. Ketika itu, kebanyakan pemilik haiwan tersebut menjaga haiwan peliharaan mereka supaya tidak berkeliaran dan ditangkap oleh pihak berkuasa tempatan. Keselamatan kanak-kanak juga orang awam daripada serangan anjing terjamin ketika itu namun kini setelah beberapa tahun, kejadian sama berlaku lagi.

Adakah setiap kali berlaku kejadian serangan ataupun kemalangan yang disebabkan oleh haiwan tersebut baru pihak berkuasa tempatan hendak mengambil tindakan menangkap anjing yang berkeliaran? Adakah pemilik haiwan tersebut hanya memastikan anjing peliharaannya itu tidak bebas berkeliaran hanya ketika pihak berkuasa tempatan menjalankan tindakan penangkapan anjing liar?