Monday 5 December 2011

Bahasa SMS - Ringkas, Mudah Tapi Rosak

A : Watpe tu? Cbuk ke?

B : X la. Ngah mam.

Membaca pesanan ringkas antara A dan B di telefon bimbit adik yang berusia belasan tahun menyebabkan Anak Merdeka kepeningan. Tidak dinafikan, bahasa SMS menjimatkan masa dan ruang namun jika tidak pandai dibezakan penggunaan, ia boleh memberi kesan buruk kepada para remaja terutama bagi mereka yang masih bersekolah.

Bahasa SMS tidak salah digunakan untuk tujuan tidak formal seperti perbualan bersama rakan-rakan namun jika digunakan di dalam penulisan, ia sudah merosakkan keindahan Bahasa Malaysia. Terdapat juga guru-guru yang mengeluh apabila memeriksa kertas karangan anak murid mereka yang menggunakan bahasa SMS di dalam karangan mereka.

Semakin canggih teknologi, semakin terdedah remaja kepada kerosakan. Dahulu, sebelum telefon bimbit dicipta, para remaja tidak pandai menggunakan bahasa yang seringkas itu. Paling tidak pun, perkataan yang diringkaskan hanya dibuang satu dua huruf sahaja, masih tidak lari dari ejaan asalnya namun kini rata-rata perkataan yang diringkaskan menjadi rosak.

Anak Merdeka akui sangat minat membaca terutamanya novel. Tidak kira novel tersebut sudah diterbitkan sebagai bahan bercetak mahupun ianya hanya boleh  dibaca secara atas talian, namun penggunakan perkataan oleh penulisnya sangat Anak Merdeka titikberatkan. Walaupun ramai yang mengatakan cerita yang ditulis itu sangat menarik, jika bahasa yang digunakan oleh penulisnya bercampur aduk dan rosak, Anak Merdeka tidak akan membacanya sama sekali.

Bahasa Malaysia itu mudah. Bahasa Malaysia itu indah. Sama-samalah kita menggunakan Bahasa Malaysia yang betul supaya ia tidak rosak dan keindahannya kekal terpelihara.

No comments:

Post a Comment