Monday 12 March 2012

Apa Sahaja Yang Tidak Baik Berlaku, Mereka Kata Semuanya Salah Kerajaan!!



Dua tiga hari ini, di akhbar, blog dan ‘Facebook’ sibuk memperkatakan tentang kisah seorang ibu tua yang lumpuh yang ditinggalkan oleh anak tunggalnya di sebuah hotel bajet di Kuala Lumpur. Pelbagai andaian dibuat terhadap tindakan anak ibu malang tersebut. Ada yang bereaksi positif, beranggapan mungkin si anak menghadapi sebarang masalah sehingga terpaksa meninggalkan ibunya buat sementara waktu di situ. Namun ada juga yang memberikan reaksi negatif, marah dengan tindakan tidak berperikemanusiaan anak tersebut.



Ibu malang tersebut telah diambil oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dan diletakkan sementara di Pusat Sehenti jabatan itu di Sungai Buloh sementara menanti proses mencari waris terdekat untuk tindakan susulan setelah kisahnya disiarkan di dalam akhbar dan berlegar di laman maya. Menurut pegawai Bahagian Warga Tua Dan Keluarga JKM, proses tersebut mengambil masa 30 hari sebelum ibu malang tersebut ditempatkan di pusat jagaan kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Di dalam masa yang sama, anak tunggal ibu malang tersebut berjaya dihubungi oleh Harian Metro.

Motif sebenarnya hanyalah ingin memberi keselesaan kepada ibunya tetapi tidak berkemampuan yang menyebabkan dia mengambil tindakan meninggalkan ibunya di hotel bajet tersebut. Penulis dapat merasakan niat baik anak tersebut namun kerana kurang berkemampuan, tindakan kurang bijak tersebut terpaksa diambil.

Apa yang ingin penulis kupas mengenai kisah ini di sini hanyalah pandangan sesetengah orang yang menyokong pembangkang yang hanya tahu menyalahkan kerajaan apabila berlakunya kejadian seperti ini. Kerajaan dikatakan korupsi, tidak mengambil peduli tentang kesusahan rakyat dan hanya membesarkan tembolok sendiri serta seharusnya digantikan dengan kerajaan baru.

Penulis sebenarnya pelik dengan pemikiran orang-orang yang menyokong pembangkang ini. Adakah kerajaan akan tahu sesiapa dalam kalangan rakyat yang menghadapi kesusahan jika mereka tidak pergi ke saluran yang betul yang telah disediakan oleh kerajaan? Sama juga seperti perut yang lapar. Jika kita hanya berdiam diri dan tidak mahu berusaha ke kedai makan ataupun memasak sendiri, adakah ada sesiapa yang tahu bahawa perut kita sedang lapar?

Rakyat beragama Islam yang susah tidak mendapat bantuan walaupun telah memohon kepada Pusat Zakat sedangkan kutipan zakat yang terkumpul banyak jumlahnya menyebabkan mereka bertindak mendapatkan bantuan daripada pihak gereja. Itu kata salah seorang penyokong pihak pembangkang kepada penulis.

Di manakah keyakinan terhadap Allah seorang Islam itu jika sanggup merendahkan martabat agama Islam yang suci dengan meminta-minta kepada golongan bukan Islam yang sememangnya menanti hendak menjatuhkan Islam dan menyebarluaskan agama mereka? Bukankah Allah telah memberikan anggota yang cukup, sihat dan tenaga untuk mereka berusaha mendapatkan rezeki yang halal serta memenuhi keperluan mereka? Berusahalah sehabis daya. Mengapa perlu meminta-minta? Bukankah telah dinyatakan, tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima?



Adakah kerajaan baru yang mereka inginkan itu boleh memberikan apa sahaja yang mereka minta? Adakah kerajaan baru itu akan lebih baik daripada kerajaan sedia ada? Sedangkan baru kerajaan negeri yang mereka pegang, sudah pelbagai masalah yang timbul, korupsi berleluasa, umat Islam teraniaya dan dinafikan hak, projek banyak diberikan kepada kroni, inikan pula jika mereka memegang tampuk pemerintahan utama. Penulis bimbang, ketika itu umat Islam langsung tiada hak, agama rasmi tidak lagi agama Islam, LGBT berleluasa, penjualan arak seperti menjual minuman ringan dan seks bebas dihalalkan.



Sebelum nasi menjadi bubur, biarlah kita mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memastikan umat Islam mendapat hak yang sepatutnya. Jangan sudah terhantuk baru hendak tengadah. Ketika itu nanti, penyesalan sudah tidak berguna lagi.

No comments:

Post a Comment