Tuesday 27 September 2011

CERITA TERTANGGUH : ALLAH, GEDIKNYA PEMUDA DAN WANITA UMNO!



Di penghujung Syawal, banyak pihak sama ada secara peribadi mahupun tidak mengadakan rumah terbuka sempena sambutan hari raya. Anak Merdeka juga berpeluang menghadiri beberapa buah rumah terbuka yang diadakan itu. Anak Merdeka menghadirinya bukan kerana kebulurkan makanan yang dihidangkan untuk tetamu tetapi sekadar ingin merasai kemeriahan suasana sambutan rumah terbuka. Almaklumlah, rumah Anak Merdeka tidak pernah mengadakan majlis rumah terbuka waima untuk saudara mara mahupun sahabat handai.

Baru-baru ini, Anak Merdeka menghadiri majlis rumah terbuka yang diadakan oleh UMNO bahagian Ampang. Teruja juga Anak Merdeka ketika dipelawa untuk turut sama menghadirinya. Almaklumlah, Anak Merdeka ini bukanlah seseorang yang suka melibatkan diri dengan politik.

Berbekalkan sebuah kereta dan keinginan yang tinggi, Anak Merdeka pun memulakan perjalanan ke tempat yang telah diberitahu. Sesampainya di sana, setelah Anak Merdeka mengalami sedikit kesulitan di dalam perjalanan, Anak Merdeka dihidangkan dengan suasana meriah, di mana penyanyi jemputan sedang mendendangkan lagu untuk hiburan kepada semua yang hadir. Hati yang sedikit panas pada mulanya berubah menjadi sejuk sedikit.

Anak Merdeka yang agak lapar melalui kawasan khemah di mana makanan sepatutnya dihidangkan tetapi apa yang Anak Merdeka nampak hanyalah para pekerja katering yang sedang mengemaskan tempat tersebut. Di dalam erti kata lain, makanan untuk tetamu sudah habis!

Tidak mengapalah. Memang bukan rezeki Anak Merdeka hendak merasai makanan hasil duit UMNO. Anak Merdeka terus sahaja berdiri di hadapan pentas utama di mana penyanyi sedang menyanyi dan penari kanak-kanak sedang menari di belakang penyanyi yang kecil molek itu. Sedikit lebih kurang sahaja Anak Merdeka nampak antara penyanyi dan penari-penari itu. Sama kecil molek!

Ketiadaan makanan dan hiburan yang disajikan bukanlah sesuatu yang menjadi perhatian Anak Merdeka sangat. Apa yang Anak Merdeka kesalkan sepanjang Anak Merdeka menjadi pemerhati di situ hanyalah sikap segelintir Pemuda dan Wanita UMNO yang tidak segan silu menyanyi dan menari di atas pentas. Gedik! Sangat gedik! Naik menyampah Anak Merdeka melihatnya. Mujur juga Anak Merdeka kelaparan waktu itu. Jika sudah kenyang, berkemungkinan besar Anak Merdeka akan termuntah hijau di situ melihatkan perilaku para perwakilan Pemuda dan Wanita UMNO yang sangat tidak matang itu.

Tiada salahnya hendak berhibur tetapi janganlah menunjukkan sikap tidak matang seperti itu! Jika anda bukan sesiapa, tiada orang yang akan mempertikaikan perbuatan anda tetapi sedarlah kedudukan anda itu sedikit tinggi dari rakyat biasa dan jagalah kehormatan anda!

No comments:

Post a Comment