Tuesday 22 November 2011

Akhirnya Mereka Rebah Di Gelanggang Sendiri!

Gollll!!!

Seawal 5 minit masa permainan, pasukan Indonesia sudah berjaya menjaringkan gol pembukaan menerusi tandukan Gunawan Dwi Cahyo. Gamat suasana Stadium Gelora Bung Karno dengan sorak sorai ratusan ribu para penyokong Indonesia. Begitu juga gamatnya sorakan daripada sebuah unit rumah yang didiami oleh beberapa orang warga Indonesia yang sudah bertahun menetap di Malaysia.

Begitu bangganya semua para penyokong Indonesia setelah pasukan mereka berjaya membuka jaringan gol. Namun kegembiraan dan keangkuhan itu tidak bertahan lama apabila pasukan Harimau Muda menerusi Asraruddin Putra berjaya menyamakan kedudukan pada separuh masa yang pertama. Kali ini giliran unit kediaman rakyat Malaysia pula bergema dengan jeritan gol.

Menyaksikan perlawanan yang membuatkan dada berdebar apabila pasukan Indonesia tidak henti-henti melakukan serangan, ditambah dengan sorakan para penyokong mereka yang menenggelamkan sorakan para penyokong Malaysia daripada Team Malaysia yang dibawa khas oleh TM sangat mengujakan. Begitu bersemangat pasukan Indonesia beraksi untuk menundukkan pasukan lawan di hadapan ratusan ribu penyokongnya.

Barisan pemain Harimau Muda berjaya mengheret pasukan Indonesia yang begitu bersemangat untuk meraih kemenangan ke 30 minit masa tambahan. Dengan semangat juang pasukan Harimau Muda yang tinggi walaupun tubuh sudah semakin kehilangan tenaga, pasukan Indonesia terpaksa akur untuk ke sepakan penalti bagi menentukan pemenang.

Akhirnya, mereka rebah di gelanggang sendiri. Kita menang! Ketara riak kesedihan di wajah ratusan ribu penyokong Indonesia dan terserlah riak gembira serta bangga di wajah penyokong Harimau Muda. Tertebus rasanya sakit hati akibat perbuatan segelintir rakyat Indonesia yang begitu kurang ajar melakukan perkara yang tidak sepatutnya terhadap bendera Malaysia.



No comments:

Post a Comment