Tuesday 8 October 2013

Pengambilalihan Kukuhkan FGV

PONTIAN - Pengambilalihan keseluruhan ekuiti di Pontian United Plantations Bhd (Pontian) oleh Felda Global Ventures Holdings (FGV) termasuk tanah perladangan di Kukup akan mengukuhkan pemilikan tanah Felda.

Pengerusi FGV, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata, kawasan di selatan daerah Pontian, terletak di Wilayah Pembangunan Iskandar selain mempunyai loji jana kuasa petrokimia mempunyai potensi cukup besar.

“Kawasan perladangan di Kukup yang kini ditanam dengan tanaman kelapa sawit mempunyai keluasan tanah seluas 600 hektar.

“Setakat ini, FGV belum mempunyai sebarang perancangan ke atas kawasan tersebut kerana masih dalam proses pengambilalihan antara pihak kami dengan Pontian setelah kelulusan oleh Bursa Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengambilalihan Pontian yang membabitkan nilai sebanyak RM1.2 bilion termasuk kawasan perladangan di Kukup, Pontian.

Mohd Isa ditemui selepas merasmikan Himpunan Peribumi Perkasa Daerah Pontian di Dewan Orang Ramai Sanglang, petang kelmarin.

Turut hadir, Yang Dipertua Pertubuhan Peribumi Perkasa (Perkasa) Negeri, Samat Atan dan Pengerusi Perkasa Daerah Pontian, Saharuddin Kamijan.

Mohd Isa berkata, penduduk di kawasan Kukup yang kebanyakan terdiri daripada kaum Melayu perlu berbangga dengan pembelian ladang tersebut yang kini telah menjadi milik penuh Felda.

“Sekurang-kurangnya Felda telah mempunyai tanah di daerah Pontian, yang mana kawasan ini tidak mempunyai Tanah Rancangan Felda.

“Kemungkinan ada perancangan selepas ini oleh FGV yang boleh memberikan manfaat kepada penduduk tempatan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Jempol.

Jelasnya, memandangkan FGV mempunyai kepakaran dalam bidang perladangan, ia tidak lari dari konsep asal yang mungkin boleh disesuaikan berdasarkan kepada keperluan jangka panjang di kawasan Kukup.

Seramai 300 ahli Perkasa dari seluruh negeri hadir dalam perhimpunan tahunan tersebut yang merupakan aktiviti tahunan yang dijalankan pertubuhan. - SH

No comments:

Post a Comment