Tuesday 11 December 2012

Pakatan Nak Beku Pengambilan Anggota Polis, Tapi Dalam Masa Sama Merayu Perlindungan!



Sebelum ini, Nurul Izzah, anak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga merupakan Naib Presiden PKR telah mengeluarkan kenyataan akan membekukan pengambilan anggota polis sekiranya Pakatan Rakyat berjaya mendapat mandat mentadbir negara pada PRU13 nanti. Selain itu, pengurangan anggota polis juga akan dilakukan untuk mengecilkan badan berkuasa itu.
Semalam, MP Kelana Jaya, Loh Gwo Burne telah mengadakan sidang media di pejabatnya yang terletak di Seksyen 8, Petaling Jaya. Menurut beliau, penduduk di Seksyen 7, 8, 10 dan Sunway Mentari terpaksa hidup di dalam ketakutan apabila rompakan dan pecah rumah semakin meningkat beberapa tahun kebelakangan ini.
Pihak polis diminta untuk mengambil langkah drastik dengan mendirikan pondok atau balai polis bagi memantau kawasan-kawasan tersebut. Walaupun rondaan rukun tetangga telah dijalankan oleh penduduk setempat, kejadian jenayah di kawasan tersebut terus meningkat.
Menurut beliau lagi, di dalam masa sebulan, beliau menerima sekurang-kurangnya 10 aduan berkaitan rompakan dan pecah rumah. Ini termasuk pejabat beliau sendiri yang turut menjadi sasaran penjenayah.
Biasalah Pakatan Pembangkang, apa yang baik dilakukan oleh kerajaan, semuanya dikatakan tidak baik dan membazirkan wang rakyat. Bagaimana hendak melaksanakan janji yang dibuat Nurul Izzah untuk mengurangkan bilangan anggota polis sedangkan mereka sendiri meminta anggota polis memberikan perlindungan kepada mereka dan memantau kawasan kejiranan mereka?
Sudah terbukti, walaupun diadakan rondaan rukun tetangga, kejadian jenayah tetap juga meningkat. Ini menunjukkan betapa pentingnya pihak polis dalam memastikan keselamatan rakyat terpelihara.
Justeru, mengapa perlu dikurangkan bilangan anggota polis? Dalam dunia yang serba mencabar, dengan rakyat yang saling bersaing untuk terus hidup, kos yang semakin meningkat dan kewujudan lintah darat yang semakin menjadi-jadi, pengambilan anggota polis tidak harus dibekukan. Sebaliknya, bilangan anggota polis haruslah ditambah untuk memberi keseimbangan kepada kadar jenayah yang berlaku.
Semalam Wan Kuntum ada terbaca berkenaan ancaman rogol yang diterima oleh Ketua Srikandi PKR di salah satu blog yang Wan Kuntum sempat layari. Dalam hal ini, pihak polis juga yang dicari malahan tempoh masa hanya tiga hari diperuntukkan kepada pihak polis untuk mencari dan menangkap orang yang melakukan ancaman tersebut.
Nah! Masih juga pihak polis yang mereka cari apabila terasa diri mereka terancam walaupun sebelum ini mereka juga yang lantang menyuarakan hasrat dan janji-janji untuk mengurangkan bilangan anggota badan berkuasa tersebut.
Memang standard Pakatan Pembangkang, apabila bercakap berdegar-degar menyalahkan pihak polis namun apabila berasakan keadaan mereka kurang selamat, kepada pihak polis juga tempat mereka mengadu.
Parti yang tidak berpendirian seperti inikah yang hendak dipilih dan diberi mandat oleh rakyat untuk mentadbir negara???

No comments:

Post a Comment