Saturday, 2 March 2013

Manifesto: Kenapa Pakatan Rakyat Tolak Hudud?

Bagi Anwar Ibrahim, Manifesto Pakatan Harapan Rakyat yang dilancarkan awal minggu ini dikira akan memberi semangat baru kepada penyokong Pakatan Rakyat (PR) untuk masuk ke gelanggang PRU 13 dengan penuh keyakinan dan bertenaga.

Paling penting Ketua Umum PKR itu mengharapkan segala janji bombastik yang ditabur dalam manifesto rasmi PR tersebut berupaya menenggelamkan fokus khalayak dari terus membicarakan siapa akan menjadi Perdana Menteri sekiranya PR memenangi PRU 13.

Namun harapan hanya sekadar harapan. Manifesto itu tidak hanya menimbulkan pertikaian umum mengenai kemampuan PR untuk menepatinya, malah ia juga mengundang satu lagi masalah besar apabila agenda perlaksanaan hukum hudud tidak mendapat tempat dalam manifesto PR.

Persoalan demi persoalan terus membelenggu minda penyokong PAS, mengapa dan kenapa isu hudud tidak diberi perhatian khusus dalam manifesto PR, sedangkan selama hampir berpuluh tahun lalu isu itulah yang menjadi talian hayat kepada perjuangan PAS.

Tiada guna sebenarnya penyokong PAS menyesakkan kepala mencari jawapannya kerana kenyataannya sudah berada di depan mata. Baru-baru ini Anwar sendiri semasa pertemuan dengan sekumpulan 200 orang pemimpin masyarakat Cina pro DAP dan PKR, telah menegaskan isu perlaksanaan hudud tiada tempat dalam dasar PR.

Malah dalam kenyataan terbaru Anwar juga mengulangi pendirian yang sama apabila memberi jaminan bahawa PR tidak akan melaksanakan undang-undang hudud apabila ia berkuasa dengan alasan mana-mana dasar yang dibuat mesti mematuhi perlembagaan persekutuan dan dipersetujui oleh ketiga-tiga parti.

Para pemimpin PAS yang sudah gelap mata termimpi-mimpikan Putrajaya bersama PR tentu sahaja tidak berani menyanggah pandangan Anwar apatah lagi bila mana Anwar sendiri mengarahkan supaya isu hudud jangan sesekali diungkit apatah lagi dimasukkan dalam manifesto PR.

Tindakan itu dalam konteks kepentingan politik PR memang betul, sementelah lagi Anwar pun tahu isu hudud hanyalah mainan politik PAS sebagaimana diakui oleh Timbalan Ketua Penerangan PAS Kelantan, Ahmad Baihaki Atiqullah yang menyatakan isu hudud hanya berbaloi dimanipulasikan di negeri yang ramai orang Melayu, jika sebaliknya akan ada backfire dari pengundi bukan Islam.

Anwar tahu majoriti penyokong Cina DAP dan PKR pastinya akan menjarakkan diri dari PR jika isu hudud terus berbangkit. Menyelitkan agenda hudud dalam manifesto bukan sahaja akan bertentangan dengan dasar sekular DAP dan PKR, malah seumpama menggantung tali ke leher sendiri.

Kemudiannya, kenyataan oleh bekas Ketua hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad pada akhir Januari lepas yang menyebut 90% undang-undang Malaysia sudah menepati kehendak syariah, dijadikan pula sebagai alasan tambahan oleh pemimpin PKR dan DAP untuk menyokong pendirian PR menolak agenda perlaksanaan hudud.

Kononnya dengan berbuat demikian, bermakna keseluruhan 100% undang-undang negara ini akan menjadi Islamik dan senario ini dilihat oleh pimpinan PR akan menimbulkan ketakutan penyokong Cina DAP dan PKR, sekaligus merencatkan usaha PR untuk menawan Putrajaya.

Kegagalan PAS memastikan agenda hudud diberi perhatian oleh PR memang agak mengecewakan penyokongnya di peringkat akar umbi. Mereka menjadi malu alah dan kelu lidah untuk berdepan orang ramai bila mana perlaksanaan hudud ditolak dari menjadi agenda rasmi PR.

Memang patut mereka malu, itu pun benar mereka ada perasaan malu. Mereka sepatutnya sedar selama berpuluh tahun isu hudud di jaja ke sana sini oleh PAS nawaitu utamanya hanya untuk kepentingan politik kepartian sahaja.

Jika PAS benar-benar serius sebagaimana kelihatan seriusnya PAS ketika menabur janji dan menjaja isu hudud kepada khalayak, kenapa pula tidak mampu bersungguh-sungguh untuk mempengaruhi sekutu-sekutunya dalam pakatan supaya menjadikan hudud sebagai agenda rasmi dalam Manifesto PR?

Atau pun paling tidak, untuk membuktikan kesungguhan PAS, kaedah lainnya ialah dengan meletakkan calon-calonya bertanding di minima 167 kerusi Parlimen dengan harapan 148 daripada berjaya dimenanginya. Bila keadaan itu berlaku PAS boleh meminda Perlembagaan sekaligus merintis jalan ke arah perlaksanaan hudud. Ada berani?

PAS takkan berani melakukannya kerana nawaitu utama PAS hanya untuk memanipulasi hukum hudud untuk kepentingan politik semata-mata, sebab itu bila ditanya bila hudud akan dilaksanakan di Terengganu semasa PAS memerintah negeri itu dulu, Abdul Hadi Awang memberi jawapan bahawa hudud hanya 0.0001% sahaja dari ajaran Islam.

Nah sekarang, hudud yang 0.0001% itulah yang dulunya di jaja untuk mendapat laba keuntungan politik PAS, kini hudud yang 0.0001% itu jugalah menjadi senjata makan tuan seumpama boomerang tepat ke dahi sendiri. Dengan PAS dan PR sekali akan padam riwayatnya dalam PRU 13 nanti.






Lahad Datu : Serbu Penceroboh, Tindakan Polis Adalah Betul

Berita yang baru diterima sebentar tadi berhubung insiden ‘penaklukan’ Lahad Datu, yang mengakibatkan beberapa orang anggota keselamatan terkorban, begitu mengejutkan masyarakat di negara ini. Kemelut yang memakan masa hampir sebulan ini telah mengakibatkan Malaysia menjadi perhatian dunia berhubung pendekatan penyelesaian yang bakal diambil.

Pelbagai cara dan kaedah telah digunakan oleh pihak kerajaan, antaranya melakukan rundingan demi rundingan dengan ketua penceroboh bersenjata bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku. Tambahan sekiranya isu ini tidak ditanggani dengan cara yang berkesan, ia boleh mengugat hubungan dunia hala antara kerajaan Malaysia dan Filipina.

Namun semua pendekatan tersebut menemui jalan buntu, bilamana pihak penceroboh tetap berkeras dan enggan menerima keputusan kerajaan. Kerajaan sebelum ini bertegas meminta mereka pulang ke negara asal sekaligus menghormati kedaultanan sesebuah negara.

Namun disebalik kesedihan itu, tidak dilupakan juga setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak keselamatan negara atas tindakan yang diambil terhadap kumpulan penceroboh bersenjata itu. Dan yang paling penting, ia dilakukan setelah kerajaan dan pihak keselamatan negara mengunakan semua pendekatan dan ruang perbincangan.

Menurut sumber, kejadian serangan bermula ketika pihak keselamatan negara yang sedang berkawal di salah satu pos kawalan di sekitar Kampung Tanduo diserang oleh pihak penceroboh bersenjata. Selain senapang dan mesingan, pihak penceroboh turut dilaporkan menyerang pihak keselamatan dengan mengunakan mortar.

Apa yang menyedihkan, ada di kalangan pencacai pembangkang yang mempertikai tindakan tersebut dengan menyalahkan kerajaan dan pihak keselamatan negara di atas serangan tersebut. Namun ia bukanlah satu perkara yang pelik, kerana sudah menjadi resam pembangkang untuk ‘spin’ apa sahaja isu yang boleh digunakan semata-mata untuk merosakkan imej dan kredibilti kerajaan.

Sedangkan pada hakikat, sekiranya benar pihak berkuasa bertindak gopoh dan terburu-buru untuk menamatkan kemelut pencerobohan ini, sudah pasti strategi kumpulan penembak tepat akan digunakan. Ia bukan sahaja dapat mengelakkan nyawa pihak keselamatan negara dari menjadi korban, namun di masa yang sama ia akan dapat diselesaikan tanpa perlu mengambil masa yang lama.
 
Dengan kelengkapan kepakaran dan peralatan terkini yang dimiliki oleh pihak tentera, bukanlah satu perkara yang mustahil buat kerajaan untuk segera bertindak. Namun sekiranya tindakan tersebut di ambil, maka sudah pasti pihak kerajaan khususnya Datuk Seri Najib akan dikecam oleh masyarakat dunia yang sentiasa cemburu dan iri hati dengan pencapaian negara selama ini.

Dan apa yang pasti, pada ketika itu, para pencacai pembangkang akan turut sama mengambil kesempatan untuk mengkritik kepimpinan kerajaan, kononnya telah gagal menanggani kemelut pencerobohan ini dengan cara yang berkesan. Anwar pula pada ketika itu, yang telah lama merasa kononnya dirinya adalah pilihan yang terbaik bagi menerajui kepimpinan Putrajaya akan memgeluarkan kenyataan menyelar tindakan tersebut.

Isu yang pada mulanya berpunca dari pendekatan dan perancangan sulitnya dengan pemimpin kumpulan penceroboh bersenjata akhirnya telah bertukar menjadi konflik antarabangsa. Dan sekiranya gagal, kerajaan akan dijadikan sebagai kambing hitam, bagi menanggung semua masalah cipntaannya ini.

Oleh yang demikian, sekali lagi diucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan dan pihak keselamatan negara diatas kecekapan dalam menghadapi kemelut ini.



Hadi, Kit Siang Bakal TPM, Anwar Bakal....

Dua hari lepas Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim dalam wawancaranya dengan akhbar Cina, Sin Chew Daily telah menamakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan presiden PAS, Abdul Hadi Awang sebagai bakal TPM sekiranya Pakatan rakyat (PR) berjaya mengambil alih Kerajaan Pusat dalam PRU 13.

Dalam pada itu Anwar juga mengakui tiada perbincangan serius di kalangan parti-parti pembangkang berhubung perkara tersebut. Maksudnya belum ada keputusan muktamad yang telah dicapai, tapi peliknya Anwar sudah memandai-mandai membuat pengumuman sebelah pihak.

Tentu ada udang di sebalik batu. Memang pun kenyataan Anwar itu ada matlamat tersiratnya.

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini kecoh di kalangan pemimpin dan penyokong PR mengenai pendirian rasmi Majlis Syura Ulama PAS yang secara jelas menolak idea untuk melantik Anwar sebagai PM. Salah satu alasan penolakannya kerana Majlis Syura agak meragui kelayakan Anwar dari segi moral dan akhlaknya untuk menjadi pemimpin utama negara.

Keputusan Majlis Syura Ulama PAS yang bermesyuarat tanpa kehadiran Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat itu memang mengecewakan Anwar, lebih-lebih lagi bila mengetahui badan tertinggi PAS itu juga telah muktamad untuk melihat Hadi Awang sebagai calon rasmi PR bagi jawatan PM.

Menyedari polemik jawatan PM ini bakal menyebabkan kewibawaannya makin terancam dan menjejaskan sokongan pengundi kepada PR, sebab itulah Anwar tiba-tiba sahaja membuat pengumuman sebelah pihak tanpa terlebih dahulu menunggu keputusan bersama Majlis Pimpinan PR.

Anwar juga tidak menyebut secara langsung yang dirinya adalah bakal PM kerana tahu tindakan tersebut akan mengundang reaksi balas dari majlis Syura Ulama PAS. Lantaran itu, dengan membuat pengumuman nama calon TPM, ia akan mencipta persepsi umum bahawa Anwar adalah satu-satunya calon PR untuk jawatan PM.

Dengan berbuat demikian juga Anwar mengharapkan PAS akan kembali menyokongnya sebagai satu-satunya calon PR bagi jawatan PM seandainya PRU 13 nanti memihak kepada gabungan longgar yang tidak berdaftar dengan ROS itu. Di masa yang sama Anwar cuba mengukuhkan kedudukannya dikalangan pengundi Cina apabila nama Kit Siang turut dinamakan sebagai TPM.

Strategi Anwar mungkin kelihatan bijak dalam mencipta persepsi , namun ia tidak dapat menafikan hakikat bahawa selagi polemik isu siapa sebenarnya calon rasmi PR sebagai PM terus berpanjangan dan tiada kata sepakat yang muktamad diputuskan, natijahnya tentu sahaja akan semakin menjejaskan prestasi PR dalam PRU 13 kelak.



Biar Betul!! Wikipedia Dakwa Bala Curi Duit Altantuya?

Sehari dua ini, dunia politik tanahair sedikit heboh dengan kemunculan semula bekas penyiasat persendirian P. Balasundramaniam yang digunakan sebagai modal baru pakatan pembangkang dalam menarik simpati pengundi. Pelbagai program jelajah telah dirancang dan diadakan demi memastikan rakyat terus tertipu dengan kenyataan bersumpahnya yang menurut Zulkifli Nordin hanya bernilai RM4.00.

Namun apa yang menariknya ialah, ketika Bala begitu ghairah dijadikan sebagai kuda tunggangan baru puak pakatan bagi memburukkan dan menjatuhkan kerajaan dengan cerita tipu dan fitnahnya, laman wikipedia telah mendedahkan mengenai satu penipuan yang dilakukannya terhadap model Altantuya Shaariibuu. Dan penipuan tersebut, akhirnya telah menyebabkan tercetusnya beberapa rentetan peristiwa sehingga menyebabkan kepada kematian Altantuya.

Laman yang merupakan sebuah portal ensiklopedia bebas itu mendedahkan, sebelum kematian Altantuya, Abdul Razak Baginda telah melakukan satu pengeluaran wang tunai berjumlah RM50,000.00. Wang tersebut akhirnya diberikan kepada Bala untuk diserahkan kepada Altantuya.

Namun mungkin kerana sikap tamak dan ‘gelap mata’, Bala bukan sahaja tidak menyerahkan bayaran tersebut, malah telah mencuri wang yang sepatutnya digunakan sebagai kos pembiayaan pulang Altantuya ke negaranya.

Menurut sumber yang dikeluarkan oleh Wikipedia itu juga, wang tersebut adalah merupakan bayaran untuk kerja-kerja yang dilakukan oleh Altantuya sepanjang berkhidmat dengan Razak Baginda. Kegagalan Altantuya untuk menerima pembayaran tersebut, telah menyebabkannya gagal untuk pulang ke negaranya. Yang mana telah menyebabkan berlaku satu tragedi yang akhirnya membawa kepada kematian beliau.

Yang lebih menghairankan, semua kenyataan Bala sebelum ini, yang kononnya bertujuan untuk mendedahkan satu kebenaran, langsung tidak menyebut mengenai kehilangan wang RM50,000 ini. Apakah dia terlupa atau sengaja menyembunyikan fakta sebenar berhubung kehilangan wang tersebut.

Zulkifli Nordin yang juga merupakan bekas peguam bela kes Altantuya sebelum ini juga, pernah membangkitkan mengenai transaksi wang tersebut. Namun sehingga kini, masih lagi tiada sebarang kenyataan dari Bala berhubung isu yang dibangkitkan ini.

Kegagalan dan keengganan Bala untuk menjelaskan mengenainya, seolah-olah membuktikan bahawa semua dakwaan yang dilemparkan ini mempunyai asas kebenarannya.

Kesimpulannya, bagi mengelakkan masyarakat terus ditipu dengan dakyah dan cerita rekaan pembangkang ini, ada baiknya pihak berkuasa memulakan siasatan berhubung kehilangan wang RM50,000 milik Altantuya yang dipercayai telah dicuri oleh Bala.


Friday, 1 March 2013

Gemparrrr!!! Anwar Dakwa Hadi Menipu Isu Kalimah Allah Pulak Dah

Tika ini ramai ahli dan penyokong PAS yang belum kebas dari demam terkejut dan masih lagi dalam kebingungan gara-gara pendirian rasmi PR yang telah muktamad menggugurkan agenda perlaksanaan hukum hudud dari Manifesto PR.

Tambah mengeruhkan keadaan bila mana Manifesto PR tanpa agenda hudud itu turut disepakati dan diperakui oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

Lebih parah lagi, tiga hari selepas Manifesto PR bertemakan "Pakatan Harapan Rakyat" dilancarkan dalam Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-4 di SACC Shah Alam, Selangor pada 25 Februari 2013 lepas, tak semena-mena Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim tampil menyalahkan Hadi Awang berhubung kontroversi isu kalimah Allah.

Ketua Umum PKR itu mendakwa ketetapan bersama PR pada 8 Januari 2013 lalu untuk membenarkan kalimah Allah s.w.t diguna pakai oleh orang bukan Islam termasuklah untuk kegunaan kitab Bible versi Bahasa Melayu hanya dimuktamadkan selepas mendapat penerangan dan persetujuan Presiden PAS.

Maksudnya, PR tidak akan mengambil ketetapan sedemikian jika Hadi menerangkan perkara benar. Tapi disebabkan Hadi telah menyembunyikan kebenaran, akhirnya PR terjerumus ke kancah kontroversi. Ini dakwaan serius, ia seperti menuduh Hadi telah menipu Anwar dan PR.

Anwar juga menegaskan kenyataan rasmi yang diiktiraf sebagai dasar PR yang disepakati bersama berhubung isu itu juga dibaca dan ditandatangani sendiri oleh Hadi Awang sebagai mewakili PAS. Gayanya seperti Anwar mahu memberitahu khalayak yang kesilapan yang dilakukan oleh PR disebabkan Hadi.

PAS patut tampil ke depan mempertahankan maruah Presidennya, itu pun kalau terasa masih ada sekelumit keberanian untuk berdepan dengan Anwar. Tapi jika berdiam diri atau sekadar sepintas lalu sahaja menjawab dakwaan Anwar, bermakna betullah dakwaan itu.

Anwar memang akan sedaya upaya melepaskan dirinya dari dikaitkan dengan kesilapan pendirian PR dalam isu kesucian kalimah Allah s.w.t, dengan cara mengalihkan beban ke bahu Hadi. Itu kehebatan Anwar dalam bab spin sana sini. Hadi dan pemimpin PAS sahaja yang masih belum sedar.

Pun begitu, sama ada Anwar, Hadi mahupun PR dan PAS, kesemua mereka telah melakukan telah memilih pendirian dalam isu sensitif ini. Suka atau tidak, kenalah terima hakikat selagi PR kekal dengan pendirian 8 Januari 2013, selagi itulah amarah umat Islam akan terus menghantui PAS dan PR. - BeruangBiru



Kasihan!!! Manifesto Tak Sebut Hudud, Perjuangan PAS Nampak Sangat Tidak Bernilai

Manifesto PR bertemakan 'Pakatan Harapan Rakyat' telah pun dilancarkan secara rasmi pada 25 Februari 2013 yang lepas sempena Konvensyen Pakatan Rakyat Kali Ke-4 yang dilangsungkan di Shah Alam Convention Centre (SACC).

Manifesto itu dirangka bersandarkan empat tonggak utama iaitu Rakyat Bersaudara, Ekonomi Rakyat, Kesejahteraan Rakyat dan Kerajaan Rakyat mendapat pengesahan dan perakuan rasmi ketiga-ketiga pemimpin utama PR dari DAP, PKR dan PAS.

Satu perkara menarik, kandungan manifesto itu langsung tidak menyentuh sebarang komitmen PR untuk merintis perlaksanaan hukum Hudud sekiranya berjaya mengambil alih Kerajaan Pusat. Dari muka surat satu hingga akhir walau sepatah ayat pun mengenai perlaksanaan hukum hudud tidak kelihatan.

Keadaan ini menunjukkan PR langsung tidak berhajat untuk melaksanakannya sekalipun umum mengetahui janji perlaksanaan hukum hudud amat sinonim dengan PAS sejak hampir tiga dekad lalu.

Ia mengejutkan ramai pemerhati politik kerana dengan gugurnya isu perlaksanaan hudud dari Manifesto PR membawa maksud akar kekuatan PAS telah dicabut keluar, meletakkan parti yang sekian lama memperalatkan Islam sebagai jenama parti itu semakin tergadai prinsip juangnya.

PAS kelihatan seperti ketiadaan pengaruh dan tidak berkemampuan mendesak agendanya dijadikan prioriti dalam Manifesto PR, dengan ini meletakkan perjuangan PAS dalam isu perlaksanaan hudud sudah tidak bernilai kerana dianggap tidak membawa sebarang manfaat kepada PR.

Akibatnya sebahagian besar ahli dan penyokong PAS hanya mampu terkebil-kebil dan mati kutu dibuatnya kerana ia jelas mengulangi kegagalan PAS sebelum ini dalam isu pengguguran Negara Islam dari kamus perjuangan PAS untuk digantikan dengan Negara Berkebajikan.

Dari satu sudut pengguguran isu hudud ini boleh dianggap satu kejayaan besar bagi Anwar Ibrahim kerana Ketua Umum PKR itu pernah berjanji dan memberi jaminan kepada sekumpulan pemimpin masyarakat Cina pro DAP dan PKR di Subang Jaya, Selangor bahawa hudud tidak akan mendapat tempat dalam PR.

Dan Anwar terbukti berjaya merealisasikan janji dan jaminan itu sekaligus senario ini juga mengesahkan kedudukan PAS dalam PR hanya setaraf kasta rendah yang hanya sekadar menjadi pak turut kepada DAP dan PKR. - BeruangBiru

Bekas Kerani Bank Songlap Duit Pelakon Macam PI Bala Buat Kat Altantuya!!!


BEKAS KERANI BANK SONGLAP DUIT LISA SURIHANI



Seorang bekas kerani bank, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Kuantan, hari ini terhadap dua pertuduhan mengeluarkan wang milik pelakon Lisa Surihani Mohamed dan ibunya berjumlah RM50,772.40, Januari lepas. 
Shawallinah Jaffar, 31, dari Kudat, Sabah, didakwa mengeluarkan wang Lisa Surihani, 26, dan ibunya, Siti Amirah Ahmad, 62, dari akaun bersama mereka.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank cawangan Taman Tas, di Taman Pandan Damai, Kuantan antara 7 dan 10 Januari lepas.
 

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dengan sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
 

Sementara bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan sekeping kad mesin teller automatik (ATM) milik mangsa di tempat dan tarikh yang sama.
 

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan penjara maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh didenda.
 

Majistret Tuan Ruzuaini Tuan Lah membenarkan tertuduh diikat jamin RM13,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Mac depan untuk sebutan semula.
 

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Farahah Mohd Nazari dan tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama

Ulasan WK

Syukurlah kerani bank tu setakat songlap duit saja. Kalau dia pun bertindak macam PI Bala dan Anwar Ibrahim, diletupkannya si Lisa Surihani tu, tak ke naya. Menduda lagi Yusri KRU dan peminat akan kehilangan seorang pelakon jelita yang berbakat besar.

PDRM memang cekap dan berdedikasi dalam menjalankan tugas. Orang kata, kalau dah berbuat salah tu, lambat laun pasti akan tertangkap juga. 

Sama jugalah kes Altantuya Shiiribu yang diletupkan mayatnya dan kesalahan menjadi dalang pembunuhan diletakkan di bahu Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak serta isteri sedangkan umum mengetahui PM di mana ketika kejadian. Begitu juga dengan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor yang ketika kejadian berada di sebuah majlis meraikan anak-anak yatim.

WK percaya, jika kita berada di pihak yang benar, walau bagaimana hebat sekalipun fitnah yang melanda, kebenaran akan terserlah juga akhirnya. Sama-sama kita berjuang menentang fitnah Pakatan Pembangkang yang cuba menghancurkan keharmonian negara dan menipu rakyat demi kepentingan sendiri.