Thursday, 16 May 2013

Antara Jangkaan dan Harapan Rakyat Terhadap Barisan Kabinet Baru

Barisan Kabinet baru telah pun diumumkan semalam dan malangnya, ia disambut dengan keluhan. Dunia seolah-olah terhenti seketika, sunyi, seolah-olah memikirkan arah pusingan selepas ini. Kadangkala apabila keadaan terlalu senyap, kita menjadi gelisah. Apatah lagi apabila melihat musuh kita turut senyap seolah-olah ‘merestui’ kabinet baru yang dilantik. Sedangkan musuh yang kita kenal itu tidak pernah merestui apa-apa yang kita lakukan sebelum ini. 

Di laman-laman sosial rakyat marhaen dan atas pagar yang ramai-ramai turun mengundi Barisan Nasional dalam PRU-13 kerana terlalu takut jika Pakatan Rakyat menang, kini tertanya-tanya apakah mereka baru sahaja membantu BN menang, atau sekadar membantu BN menunda kekalahan? 

Entah kenapa, majoriti rakyat tidak gembira walaupun media-media perdana cuba ‘memberi muka’ dan menyedapkan hati rakyat bahawa barisan kabinet ini adalah yang terbaik. Entah kenapa rata-rata rakyat ragu-ragu dan bimbang serta tidak mampu memaksa keyakinan terhadap barisan kabinet yang baru. 

Mungkin juga rakyat telah meletakkan satu jangkaan yang terlalu tinggi terhadap kepimpinan. Ini tidak menghairankan kerana kita semua sudah ‘terbiasa’ dengan pemerintahan dinamik dan tegas Tun Mahathir selama 22 tahun dan tidak mampu lagi menerima apa-apa yang berbeza dari cara itu. 

Tun Mahathir telah melonjakkan Malaysia terlalu jauh ke hadapan dengan pendekatan tegas apabila berhadapan dengan kuasa besar, berani mencabar Zionis, lantang menghentam Soros, pantas mengambil tindakan mempertahankan hak negara, bijak memacu ekonomi serta tidak teragak-agak untuk membantu saudara seagama di seluruh dunia. 

Biarpun beliau dihentam dan dicemuh, tetapi beliau konsisten dan fokus dengan perancangannya sehingga akhirnya satu demi satu yang mereka yang mencemuh dan menghentamnya terpaksa akur bahawa beliau benar. Kaum Cina yang sebelum itu menggelar beliau Ultra-Melayu juga akhirnya akur bahawa beliau bukan rasis lalu memberi sokongan padu kepadanya. 

Pengajaran dari sejarah kegemilangan Malaysia di zaman Tun Mahathir adalah jelas iaitu ‘ketegasan’ adalah penting, dan bukannya ‘populariti’. Dari situ, Malaysia muncul sebagai negara yang makmur dan bermaruah.  

Jika pengajaran dari kejayaan tidak cukup maka lihat pula pengajaran dari kegagalan di mana Malaysia menjunam turun selepas Tun Mahathir meletak jawatan. Kenapa? 

Tidak lain tidak bukan ialah kerana pendekatan kepimpinan baru adalah seratus-peratus ‘terbalik’ dari apa yang dilakukan oleh Tun Mahathir iaitu mementingkan populariti dan langsung tidak bertegas. 

Justeru, rakyat yang mengundi Barisan Nasional tempoh hari menaruh harapan yang tinggi agar keadaan ‘diterbalikkan’ semula sepertimana zaman kegemilangan Malaysia. Tidak cukup sekadar ekonomi yang teguh dan kukuh jika soal maruah bangsa dan negara tidak diambilkira. 

Ancaman keganasan serta penjajahan alaf baru kini bukan lagi sesuatu yang dibaca di akhbar dan ditonton diTV. Tetapi ia sudah begitu dekat dengan kehidupan kita. Oleh kerana itulah semua yang sebelum ini ‘malas’ mengundi, telah turun memberi kemenangan kepada BN supaya ancaman itu dapat dikekang dan dihapuskan supaya kita boleh fokus ke arah membina negara. 

Di saat ini, rakyat berada dalam keadaan resah dan gelisah melihat musuh-musuh negara bebas ke sana ke mari membuat onar dan melakukan kerosakan tanpa apa-apa tindakan. 

Jika persoalan awal di kalangan rakyat berbunyi ‘apakah yang ditunggu oleh kerajaan?’, soalan selepasnya kini berbunyi ‘apakah yang kerajaan takutkan?’ 

Dan semua persoalan ini perlu dijawab secepat mungkin oleh barisan kabinet baru. 

Rakyat hanya mampu berharap agar keresahan dan kegelisahan mereka dapat dihilangkan dengan segera. Kini, terpulanglah kepada mereka yang dilantik untuk memastikan resah dan gelisah rakyat itu tidak bertukar menjadi menyampah. - BeruangBiru

No comments:

Post a Comment