Friday 3 May 2013

#PRU13 : Elakkan Provokasi, Jaga Nama Baik BN #P146



WK sudah dua minggu berada di bumi Muar membantu jentera BN menjalankan tugas sempena PRU13 yang akan berlangsung pada 5 Mei nanti. Pelbagai perkara yang dapat WK lihat dan alami sepanjang berada di sini.
Kesiapsiagaan jentera BN menghadapi PRU kali ini tidak dapat dinafikan lagi. Walaupun di saat-saat akhir terdapat pelbagai halangan dalam menjalankan tugas membantu kempen calon yang telah dipilih pucuk pimpinan parti, semua itu tidak menjadi batu penghalang untuk tugas dilaksanakan dengan sebaiknya.
Anak-anak muda belia yang menjadi sukarelawan BN seharusnya dipuji atas sikap cemerlang mereka. Walaupun hanya bergelar sukarelawan, tugasan yang diberi untuk menaikkan nama BN tidak dilakukan dengan main-main.
Jika tiada mereka ini, mungkin tidak semeriah ini perang bendera berlaku di Bandar Muar ini. Begitu juga dengan pengedaran buku pencapaian calon P146 yang telah dua penggal menjadi YB di Muar ini, mungkin tidak mencapai sasarannya tanpa para belia sukarelawan ini.
Namun, dalam pelbagai kebaikan yang mereka lakukan, terselit juga sedikit rasa tidak puas hati dengan tindakan mereka.
Mungkin tiada yang memberikan teguran kepada mereka, atau juga mungkin tidak bertindak atas faktor bimbang hilangnya sokongan daripada golongan belia ini, beberapa orang anak muda yang membentuk sebuah kumpulan bermotosikal dibiarkan membuat provokasi.
Tidak dinafikan, darah muda sudah pasti mudah menimbulkan provokasi jika berhadapan dengan parti lawan. Namun sebarang tindakan kurang matang seharusnya berjaya dikawal daripada berlaku.
Berkongsi pengalaman WK duduk minum di awal pagi sementara menunggu mata mengantuk, WK dapat melihat sekumpulan belia bermotosikal yang mungkin cuba membuat provokasi terhadap calon lawan di sebuah restoran 24 jam di Bandar Muar ini.
Mujur sahaja hanya ada sebuah motosikal yang dihiasi dengan bendera PKR diparkir di hadapan restoran tersebut. Jika ada beberapa buah, mungkin akan berlaku perkara yang tidak diingini.
Pendapat WK, perkara sebegini seharusnya tidak berlaku di saat-saat ini. Seharusnya ada yang menegur mereka ini supaya tidak berbuat sesuatu yang boleh memburukkan nama dan menjatuhkan reputasi BN di mata masyarakat.
Perkara-perkara provokasi ini janganlah dilakukan. Rakyat sentiasa menjadi pemerhati. Jangan pula kerana kesilapan kecil seperti ini dilakukan, BN bakal kehilangan beberapa undi.
Seboleh-bolehnya janganlah ada di antara jentera BN, pengamal media dan para blogger yang pro BN, para sukarelawan BN yang membuat sebarang provokasi terhadap parti lawan. Ini untuk mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.

No comments:

Post a Comment