Saturday, 26 November 2011

Balut Pun Tak Guna!

Anak Merdeka sedang menunggu televisyen menyiarkan rancangan Wonderpet dengan rasa teruja. Tiba-tiba hujan turun. Bermula dengan gerimis dan semakin lama semakin lebat. Seperti biasa jika hujan turun, siaran televisyen pasti akan terganggu. 

Kawan-kawan ada yang beri cadangan. Mereka kata, kalau dibalut dengan plastik atau ditutup 'receiver' yang terdapat di piring Astro tersebut dengan botol plastik yang telah dipotong, siaran tidak akan terganggu. Sebenarnya Anak Merdeka juga terikut cadangan mereka. Anak Merdeka sudah pun membalut dengan plastik tetapi masih juga mengalami gangguan.

Memanglah. Walaupun bayaran semakin mahal dan cukai juga semakin naik, siaran masih juga tidak naik tarafnya. Pengguna masih juga mengalami gangguan siaran jika hari hujan. 

Friday, 25 November 2011

Bagus Juga Kalau Dipraktikkan Di Malaysia!

Utusan Malaysia melaporkan berita mengenai sebuah bandar di Sierra Leone yang menawarkan biasiswa selama lima tahun untuk pelajar perempuan yang menyimpan keperawanan sehingga mereka menamatkan pengajian di universiti.

Menurut Pengerusi Perbandaran Bo, Mathew Margao, sasaran tawaran biasiswa tersebut bagi mengurangkan kes kehamilan remaja dengan memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus pelajar sekolah kekal dara sehingga mereka menamatkan pelajaran. Majlis perbandaran akan mendapatkan khidmat pegawai perubatan wanita untuk memeriksa mereka bagi membuktikan keperawanan mereka.

Bagus juga jika dipraktikkan di Malaysia. Sudah tentu ramai anak-anak gadis yang akan menjaga keperawanan mereka terutamanya mereka yang berasal dari kampung. Seperti yang banyak kita lihat sekarang, ramai anak gadis yang berasal dari kampung mengalami kejutan budaya. Bertudung litup dan begitu menjaga tata susila ketika di kampung tetapi apabila belajar dan menetap di bandar, mereka lupa diri. Mengikut teman lelaki hingga tergadai maruah diri dan terabai pelajaran. Bahkan ada yang sampai menjadi teman social kepada golongan VIP.

Gejala sosial seperti hamil luar nikah dan pembuangan bayi sudah pasti dapat dikurangkan statistiknya sekaligus mengurangkan kadar jenayah. Ini sudah pasti akan menjadikan Malaysia yang selama ini terkenal sebagai sebuah negara Islam dan terkenal dengan kesopanan serta keharmonian masyarakat pelbagai kaumnya dipandang tinggi oleh negara luar.

Edisi Terhad?


Beberapa hari ini saya ada menghantar artikel ke sebuah laman web di atas permintaan salah seorang penceramahnya. Saya akui agak aktif juga menghantar artikel ke situ. Baru 3 hari sudah 6 artikel tersiar. Ini berlaku kerana saya memang suka memerhati dan sangat minat menulis.

Tetapi sejak semalam, saya tidak tahu kenapa tidak boleh lagi menghantar artikel ke situ. Apabila saya klik 'hantar artikel', ruangan tersebut menjadi kosong. Tiada pula sebarang pemberitahuan di situ. Pelik pula. Mungkinkah seseorang itu dihadkan berbuat begitu?

Buat masa ini, saya sudah menyiapkan satu artikel yang saya petik dari laporan sebuah akhbar. Ia berkaitan dengan gejala sosial masa kini. Hurm... Mungkin terpaksa kongsikan di sini sahaja.

Wednesday, 23 November 2011

Gangguan Tiga Daerah

Syabas kata, bekalan air di daerah Shah Alam, Klang dan Hulu Langat akan terganggu buat sementara waktu pada hujung November dan awal Disember nanti. Ini adalah kerana pihak Syabas melakukan kerja-kerja menaiktaraf sistem bekalan air.

Harap-harapnya lepas dinaiktaraf nanti, air yang dibekalkan kepada rakyat Selangor terutama di tiga daerah yang dinyatakan itu akan lebih terjamin dan selamat untuk diminum. Semoga tiada lagi karat yang lebih banyak daripada air seperti sekarang ini. Begitu juga dengan tekanan airnya. Semoga tekanannya lebih kuat daripada sekarang.


Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional


Kelmarin dengar khabarnya pinjaman PTPTN hanya akan diberikan kepada pelajar untuk membiayai yuran pengajian semata-mata. Tiada lagi untuk perbelanjaan sara hidup semasa mereka menuntut. Semua ini disebabkan oleh kerugian yang ditanggung oleh pihak Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional akibat pinjaman tidak berbayar dari peminjam terdahulu.

Penulis tidak menyokong mahupun membangkang keputusan yang ingin dibuat oleh pihak Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional ini kerana mereka lebih tahu jalan penyelesaian yang harus diambil untuk kebaikan mereka. Namun, penulis merasa kasihan kepada bakal peminjam yang berasal daripada kampung-kampung di pedalaman.

Bagaimana mereka hendak meneruskan pembelajaran dengan tenang jika tiada duit untuk makan? Ya, mereka mungkin boleh membuat kerja sambilan untuk menampung kos sara hidup sekiranya ibubapa mereka tidak dapat mengirimkan wang perbelanjaan kepada mereka tetapi tidakkah ini akan menyebabkan tumpuan mereka kepada pembelajaran akan sedikit terganggu?

Jika anak-anak orang berada ataupun mempunyai ibubapa yang mempunyai pendapatan tetap setiap bulan tidak mengapalah jika tidak mendapat perbelanjaan sara hidup ini. Ibubapa mereka tentu mampu hendak memberi wang belanja kepada mereka. Bagaimana jika ibubapa mereka penoreh getah dan tempat mereka dilanda hujan sepanjang masa? Tidakkah ini akan memberi masalah kepada mereka?

Duit juga boleh menjadi punca kejadian jenayah. Orang menyamun, ragut dan merompak kerana duit. Orang membunuh juga adakalanya kerana duit. Adakah kita mahu lihat ada antara pelajar kita yang meragut hanya kerana hendak mendapatkan duit bagi membeli makanan?

Untuk itu, penulis menyeru kepada peminjam yang sudah menamatkan pengajian dan sudah bekerja, silalah bayar pinjaman anda supaya bakal pelajar selepas anda dapat diberi pembiayaan pula.

Sudah Sampai Musim Banjir!

Kisah air lagi. Hehehe...

Kawasan Pantai Timur dan banjir tidak dapat dipisahkan. Saban tahun kawasan ini pasti akan dilimpahi air terutama pada akhir tahun.

Bermula pada bulan Oktober, hujan pasti mencurah dan membasahi bumi. Setiap hari tidak kira pagi, petang mahupun malam, hujan pasti akan turun dan adakalanya tidak berhenti dari pagi membawa ke malam.

Ketika inilah aspek keselamatan sangat perlu dititikberatkan oleh setiap orang kerana golongan yang sangat suka pada keadaan ini adalah kanak-kanak. Mereka sudah pastinya suka hendak bermain dengan air tanpa menyedari air tersebut boleh mendatangkan bahaya kepada mereka. Bukan sahaja dibimbangi akan lemas malahan penyakit juga mudah mendatangi mereka.

Taun ataupun nama saintifiknya Cholera berpunca daripada virus vibrio cholerae yang biasanya tersebar melalui air yang tercemar. Penyakit ini boleh menyebabkan mangsanya cirit-birit, muntah dan kekeringan. Mangsa boleh dirawat namun jika keadaannya teruk, ia mungkin boleh menyebabkan kematian.

Seperti api, air juga sewaktu sedikitnya menjadi kawan dan penghilang dahaga namun jika sudah banyak, ia boleh menjadi pembunuh manusia. Oleh itu, jagalah keselamatan diri dan anak-anak dari bahaya banjir. Beringat sebelum kena supaya tidak menangis kerana leka.

Tuesday, 22 November 2011

Air Dan Kehidupan

Air memainkan peranan yang penting di dalam kehidupan manusia. Tanpa makanan, manusia masih boleh meneruskan kehidupan namun tidak dengan ketiadaannya.

Tubuh yang kepanasan boleh menjadi sejuk jika disiram dengan air sejuk. Dahaga boleh dihilangkan dengan meminum air. Api juga boleh dipadamkan dengan curahan air. Air juga boleh menjadi pembunuh. Begitulah hebatnya kuasa air.

Tubuh yang sihat boleh diperolehi dengan makanan dan minuman yang bersih serta berkhasiat. Namun hari ini, ramai orang yang tidak sihat akibat disajikan makanan dan minuman yang tidak bersih. Contohnya bekalan air yang disalurkan ke kediaman di Selangor ini. Airnya sangat kotor dan berkarat.

20 meter padu air yang diberi percuma adakah setimpal dengan harga kesihatan manusia?

Wahai Kerajaan Negeri Selangor, tolonglah bekalkan kami air yang bersih supaya kami boleh kekal sihat.