Monday, 26 March 2012

Cakap Tak Serupa Bikin!

Dengar cerita ada penyokong BN yang dibelasah ala-ala samseng dek orang-orang PKR. Kononnya penyokong PKR kata sebab orang BN tu yang kacau program ceramah diorang. Katanya orang BN tu tak ada adab, tak macam depa yang sangat bersopan santun yang tak pernah kacau program ceramah orang BN.

Tapi apa cerita dengan hal yang baru berlaku ke atas Menteri Belia dan Sukan, merangkap Ahli Majlis Tertinggi Umno yang telah dihalang oleh penyokong tegar Anwar Aljuburi ketika hendak menghadiri program BN di kawasan Parlimen Permatang Pauh?

Bersopan sangatkah macam tu punya perangai?

Hahahaha... Fitnah Salah Orang La Pulak Puak Pakatan Ni.


Itulah dia penyokong puak Pakatan yang suka memfitnah membabi buta. Takkan dengan bini sendiri pun takleh nak menari ataupun berpegangan tangan. Benda halal kan. Ke depa nak kata, benda halal tak boleh, benda haram aje yang boleh?

Apa depa ingat boleh samakan dengan dewataraya yang depa duk sanjung-sanjung tu ke? Benda halal ada, benda haram jugak yang dia suka. Bukan setakat perempuan aje pulak tu, siap lelaki pun dia sondol jugak. Cara macam itu ke yang boleh? Moden sangatlah tu ye? Adoiiii...

Bawak-bawaklah bertaubat wahai para penyokong dewataraya yang memang dah terang-terang buat benda haram tu. Biarlah dia sorang aje yang sesat, tak payahlah hang semua nak ikut dia sekali.

Thursday, 15 March 2012

Macam Mana Hendak Tarbiyah Orang Muda Kalau Orang Tuanya Pun Bercakaran Sesama Sendiri?

Tarbiyah membawa maksud cara ideal dalam berinteraksi dengan fitrah manusia, baik secara langsung melalui kata-kata mahupun secara tidak langsung dalam bentuk keteladanan, sesuai dengan sistem dan peringkat khusus yang diyakini, untuk memproses perubahan dalam diri manusia menuju kondisi yang lebih baik. Ia sering dikaitkan dengan sebuah parti Islam yang terdapat di negara kita yang pastinya sudah sangat dikenali oleh kita semua tidak kira tua ataupun muda.

Semakin hampir kita akan menghadapi pilihanraya, semakin banyak pula cerita-cerita kurang enak yang didengar mengenai sebuah parti Islam ini. Bermula dari pegangan mereka yang sudah semakin tidak ketentuan arah, corak tindakan mereka yang lebih kepada mengikut arahan dan perkenan rakan kongsi di dalam Pakatan Rakyat, sehinggalah kepada krisis dalaman mereka sendiri.

Mereka mendekati semua golongan terutama golongan tua yang mudah percaya bersama segala cerita kurang enak tentang parti bertentangan yang sudah lama memerintah negara. Bercerita tentang kegagalan kerajaan sedia ada dalam mengagihkan semua yang sepatutnya menjadi hak rakyat kepada yang berhak. Bercerita tentang korupsi dan rasuah serta pemberian tender kepada kroni namun dalam tidak sedar, mereka sebenarnya berniat begitu.

Tidak ketinggalan mereka mendekati golongan muda untuk menarik mereka menjadi penyokong. Melakukan apa sahaja untuk mengajak mereka meninggalkan parti sedia ada dan mengikut mereka yang kononnya melaksanakan konsep negeri berkebajikan. Segalanya untuk rakyat namun apabila sudah mendapat sokongan, perbalahan sesama sendiri pula tersaji.

Krisis dalaman yang berlaku baru-baru ini sehingga memaksa PAS pusat membentuk sebuah Jawatankuasa Pemandu untuk memantau perjalanan pemerintahan sebuah negeri di utara tanahair yang berada di bawah pemerintahan mereka menunjukkan betapa mereka juga sama. Gila kuasa hendak memegang tampuk pemerintahan sehingga sanggup saling menjatuhkan sesama sendiri.

Mengapakah mereka berebut hendak mendapatkan jawatan yang tertinggi? Salah satu faktornya adalah wang yang menjadikan mereka gelap mata. Tidak dapat memerintah bermakna tidak dapat mengagihkan sebarang projek kepada kroni. Apabila ini berlaku, kekayaan tidak dapat dikumpul dan sekiranya ketika pilihanraya yang bakal tiba nanti mereka tertewas, peluang untuk itu langsung tidak akan diperolehi lagi.

Bagaimana hendak mentarbiyah orang muda dan mengajak menukar pegangan jika mereka sendiri bercakaran berebut jawatan hanya kerana wang?

Barang Makan Pun Nak Curi, Siapa Yang Harus Dipersalahkan?

Gambar Sekadar Hiasan

Pelik-pelik perangai manusia hari ini. Tidak mengandung pun, dia menyamar mengandung. Kita punyalah kasihan tengok dia penat bawa perut, rupa-rupanya bukan ada bayi di dalam, sebaliknya ada susu tin sahaja di dalam baju.

Rasanya dalam tempoh sebulan dua ni, ada beberapa kes mencuri barang makanan khasnya susu tepung untuk bayi di mana modus operandinya dengan memasukkan barang curian ke dalam baju. Apalah punya manusia. Makanan yang akan menjadi darah daging pun dari hasil mencuri.

Siapa yang harus dipersalahkan dalam hal ini? Kalau tanya Pakatan Rakyat, depa memang akan kata itu salah kerajaan. Maklumlah, kerajaan tak pandai mengawal harga barang macam depa sampaikan rakyat terpaksa mencuri sebab tak mampu membeli. 

Depa tak akan salahkan pemborong yang menyorokkan barangan sehingga menyebabkan kekurangan barang keperluan di pasaran dan akhirnya pekedai menaikkan harga. Depa pun tak akan salahkan diri pencuri tu sendiri sebab malas bekerja, tak mampu mengawal nafsu untuk mencuri dan langsung tiada rasa malu kepada sesama manusia dan tuhan.

Makanan yang dimakan haruslah dari sumber yang halal, barulah kehidupan sentiasa sejahtera. Kalau ia datangnya dari sumber yang haram, alamatnya, haru birulah hidup. Dan bila hidup dah haru biru, mulalah berkira-kira nak haru birukan hidup orang lain pula.

Monday, 12 March 2012

Apa Sahaja Yang Tidak Baik Berlaku, Mereka Kata Semuanya Salah Kerajaan!!



Dua tiga hari ini, di akhbar, blog dan ‘Facebook’ sibuk memperkatakan tentang kisah seorang ibu tua yang lumpuh yang ditinggalkan oleh anak tunggalnya di sebuah hotel bajet di Kuala Lumpur. Pelbagai andaian dibuat terhadap tindakan anak ibu malang tersebut. Ada yang bereaksi positif, beranggapan mungkin si anak menghadapi sebarang masalah sehingga terpaksa meninggalkan ibunya buat sementara waktu di situ. Namun ada juga yang memberikan reaksi negatif, marah dengan tindakan tidak berperikemanusiaan anak tersebut.



Ibu malang tersebut telah diambil oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dan diletakkan sementara di Pusat Sehenti jabatan itu di Sungai Buloh sementara menanti proses mencari waris terdekat untuk tindakan susulan setelah kisahnya disiarkan di dalam akhbar dan berlegar di laman maya. Menurut pegawai Bahagian Warga Tua Dan Keluarga JKM, proses tersebut mengambil masa 30 hari sebelum ibu malang tersebut ditempatkan di pusat jagaan kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Di dalam masa yang sama, anak tunggal ibu malang tersebut berjaya dihubungi oleh Harian Metro.

Motif sebenarnya hanyalah ingin memberi keselesaan kepada ibunya tetapi tidak berkemampuan yang menyebabkan dia mengambil tindakan meninggalkan ibunya di hotel bajet tersebut. Penulis dapat merasakan niat baik anak tersebut namun kerana kurang berkemampuan, tindakan kurang bijak tersebut terpaksa diambil.

Apa yang ingin penulis kupas mengenai kisah ini di sini hanyalah pandangan sesetengah orang yang menyokong pembangkang yang hanya tahu menyalahkan kerajaan apabila berlakunya kejadian seperti ini. Kerajaan dikatakan korupsi, tidak mengambil peduli tentang kesusahan rakyat dan hanya membesarkan tembolok sendiri serta seharusnya digantikan dengan kerajaan baru.

Penulis sebenarnya pelik dengan pemikiran orang-orang yang menyokong pembangkang ini. Adakah kerajaan akan tahu sesiapa dalam kalangan rakyat yang menghadapi kesusahan jika mereka tidak pergi ke saluran yang betul yang telah disediakan oleh kerajaan? Sama juga seperti perut yang lapar. Jika kita hanya berdiam diri dan tidak mahu berusaha ke kedai makan ataupun memasak sendiri, adakah ada sesiapa yang tahu bahawa perut kita sedang lapar?

Rakyat beragama Islam yang susah tidak mendapat bantuan walaupun telah memohon kepada Pusat Zakat sedangkan kutipan zakat yang terkumpul banyak jumlahnya menyebabkan mereka bertindak mendapatkan bantuan daripada pihak gereja. Itu kata salah seorang penyokong pihak pembangkang kepada penulis.

Di manakah keyakinan terhadap Allah seorang Islam itu jika sanggup merendahkan martabat agama Islam yang suci dengan meminta-minta kepada golongan bukan Islam yang sememangnya menanti hendak menjatuhkan Islam dan menyebarluaskan agama mereka? Bukankah Allah telah memberikan anggota yang cukup, sihat dan tenaga untuk mereka berusaha mendapatkan rezeki yang halal serta memenuhi keperluan mereka? Berusahalah sehabis daya. Mengapa perlu meminta-minta? Bukankah telah dinyatakan, tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima?



Adakah kerajaan baru yang mereka inginkan itu boleh memberikan apa sahaja yang mereka minta? Adakah kerajaan baru itu akan lebih baik daripada kerajaan sedia ada? Sedangkan baru kerajaan negeri yang mereka pegang, sudah pelbagai masalah yang timbul, korupsi berleluasa, umat Islam teraniaya dan dinafikan hak, projek banyak diberikan kepada kroni, inikan pula jika mereka memegang tampuk pemerintahan utama. Penulis bimbang, ketika itu umat Islam langsung tiada hak, agama rasmi tidak lagi agama Islam, LGBT berleluasa, penjualan arak seperti menjual minuman ringan dan seks bebas dihalalkan.



Sebelum nasi menjadi bubur, biarlah kita mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memastikan umat Islam mendapat hak yang sepatutnya. Jangan sudah terhantuk baru hendak tengadah. Ketika itu nanti, penyesalan sudah tidak berguna lagi.

Monday, 5 December 2011

Bahasa SMS - Ringkas, Mudah Tapi Rosak

A : Watpe tu? Cbuk ke?

B : X la. Ngah mam.

Membaca pesanan ringkas antara A dan B di telefon bimbit adik yang berusia belasan tahun menyebabkan Anak Merdeka kepeningan. Tidak dinafikan, bahasa SMS menjimatkan masa dan ruang namun jika tidak pandai dibezakan penggunaan, ia boleh memberi kesan buruk kepada para remaja terutama bagi mereka yang masih bersekolah.

Bahasa SMS tidak salah digunakan untuk tujuan tidak formal seperti perbualan bersama rakan-rakan namun jika digunakan di dalam penulisan, ia sudah merosakkan keindahan Bahasa Malaysia. Terdapat juga guru-guru yang mengeluh apabila memeriksa kertas karangan anak murid mereka yang menggunakan bahasa SMS di dalam karangan mereka.

Semakin canggih teknologi, semakin terdedah remaja kepada kerosakan. Dahulu, sebelum telefon bimbit dicipta, para remaja tidak pandai menggunakan bahasa yang seringkas itu. Paling tidak pun, perkataan yang diringkaskan hanya dibuang satu dua huruf sahaja, masih tidak lari dari ejaan asalnya namun kini rata-rata perkataan yang diringkaskan menjadi rosak.

Anak Merdeka akui sangat minat membaca terutamanya novel. Tidak kira novel tersebut sudah diterbitkan sebagai bahan bercetak mahupun ianya hanya boleh  dibaca secara atas talian, namun penggunakan perkataan oleh penulisnya sangat Anak Merdeka titikberatkan. Walaupun ramai yang mengatakan cerita yang ditulis itu sangat menarik, jika bahasa yang digunakan oleh penulisnya bercampur aduk dan rosak, Anak Merdeka tidak akan membacanya sama sekali.

Bahasa Malaysia itu mudah. Bahasa Malaysia itu indah. Sama-samalah kita menggunakan Bahasa Malaysia yang betul supaya ia tidak rosak dan keindahannya kekal terpelihara.

Anjing : Haiwan Peliharaan Yang Berguna Tapi Merbahaya

Semalam akhbar Harian Metro ada melaporkan tentang kanak-kanak di Puchong yang diserang oleh anjing peliharaan jirannya sehingga menyebabkan betisnya terpaksa dibedah. Kejadian sama pernah juga berlaku di beberapa tempat lain malahan ada juga sehingga melibatkan kehilangan nyawa. Ada juga kemalangan yang berlaku  membabitkan penunggang motosikal disebabkan terlanggar anjing yang berkeliaran di atas jalanraya.

Tidak salah jika hendak memelihara anjing sebagai haiwan peliharaan. Selain daripada ianya boleh dijadikan teman kepada sesiapa yang sukakan haiwan tersebut, ia juga boleh ditugaskan untuk mengawal keselamatan tempat kediaman. Dengan salakannya yang mampu membuatkan orang terjaga daripada tidur, ia boleh menjadi pengawal keselamatan yang baik kepada pemiliknya.

Namun begitu, keselamatan orang awam dan jiran tetangga terutamanya kanak-kanak harus diambil kira jika seseorang itu hendak memelihara haiwan tersebut. Haiwan tersebut haruslah dipastikan terikat atau sentiasa berada di dalam kawasan kediaman berpagar pemiliknya supaya ia tidak sewenangnya menyerang orang awam yang lalu lalang. Haiwan tersebut juga tidak boleh dibiarkan lepas bebas berkeliaran di kawasan perumahan untuk mengelakkan berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini.

Beberapa tahun dahulu pernah berlaku siri kejadian serangan anjing terhadap orang awam terutamanya kanak-kanak sehingga menyebabkan kecederaan yang parah kepada mangsa. Rentetan siri kejadian tersebut, pihak berkenaan terutamanya Majlis Perbandaran menjalankan kerja-kerja pelupusan haiwan tersebut yang lepas bebas berkeliaran sama ada mempunyai pemilik ataupun tidak. Ketika itu, kebanyakan pemilik haiwan tersebut menjaga haiwan peliharaan mereka supaya tidak berkeliaran dan ditangkap oleh pihak berkuasa tempatan. Keselamatan kanak-kanak juga orang awam daripada serangan anjing terjamin ketika itu namun kini setelah beberapa tahun, kejadian sama berlaku lagi.

Adakah setiap kali berlaku kejadian serangan ataupun kemalangan yang disebabkan oleh haiwan tersebut baru pihak berkuasa tempatan hendak mengambil tindakan menangkap anjing yang berkeliaran? Adakah pemilik haiwan tersebut hanya memastikan anjing peliharaannya itu tidak bebas berkeliaran hanya ketika pihak berkuasa tempatan menjalankan tindakan penangkapan anjing liar?