Tuesday 19 February 2013

BR1M 2.0 : Beri Salah, Tak Beri Pun Salah!



Bantuan Rakyat 1 Malaysia atau lebih lebih mudah disebut BR1M kini telah dua kali diagihkan kepada rakyat yang berkelayakan menerimanya tanpa mengira apa juga pegangan politik mereka. Tidak kira penerima daripada parti PAS, DAP, PKR mahupun Barisan Nasional, asalkan mereka memenuhi syarat yang ditetapkan, mereka tergolong dalam kategori layak menerima bantuan.

Syarat-syarat yang ditetapkan untuk melayakkan seseorang itu memohon BR1M 2.0 tidak berbeza daripada kali pertama BR1M diperkenalkan dahulu. Syarat utama masih lagi merupakan warganegara Malaysia dan berpendapatan kurang RM3000 sebulan untuk seisi rumah.

Tidak dinafikan BR1M diagihkan kepada rakyat menggunakan hasil negara yang ditadbir oleh kerajaan. Jika kerajaan tidak telus melaksanakan tanggungjawab dalam mentadbir segala hasil negara dan hasil cukai, jangankan BR1M, segala bentuk pembangunan seperti yang dapat kita nikmati sekarang ini juga sudah pasti tidak mampu dilaksanakan.

Rakyat seharusnya bersyukur dengan segala macam bantuan yang diperolehi daripada kerajaan. Walaupun ada segelintir penjawat awam yang tidak menjalankan tugas dengan jujur dan amanah, tidak perlulah hendak menyalahkan terus sebuah kerajaan. Sesebuah kerajaan terdiri daripada kalangan rakyat yang terpilih oleh rakyat sendiri untuk menjawat jawatan yang diamanahkan.

Penulis ada terbaca cerita tidak baik tentang BR1M 2.0 yang telah disebarkan di beberapa buah blog pro pembangkang yang kononnya telah memalukan seorang wakil penerima bantuan. Dikatakan penerima sebenar adalah bapa kepada wakil tersebut yang lumpuh. Kononnya pegawai yang bertugas meninggikan suara dan tidak berperikemanusiaan dengan mengatakan wakil tidak boleh mengambil wang bantuan tersebut walaupun alasan telah diberi adalah tidak boleh diterima akal.

Setiap perlaksanaan tugas mempunyai prosedur yang harus diikuti. Sikap tolak ansur dan sentiasa bermanis muka serta berbudi bahasa memudahkan lagi sesebuah urusan. Tidak mungkin tiada jalan penyelesaian untuk beliau mendapatkan wang bantuan tersebut. Mungkin ketika itu tiada sebarang surat sokongan daripada penerima yang dibawa oleh wakil, maka pegawai bertugas tidak berani menyerahkan wang tersebut.

Penulis cukup yakin, jika wakil tersebut ada membawa surat sokongan ketika hendak mengambil wang BR1M mewakili bapanya yang lumpuh, sudah pasti urusannya tidak menjadi susah dan tidak dimalukan seperti yang didakwa beliau. Dan yang memusykilkan penulis, mengapa pula kepada penyokong Pakatan Pembangkang sahaja diceritakan kisah yang memalukannya ini? Mengapa tidak kepada pihak yang memberi bantuan? Ternyata kisah ini adalah salah satu dari cubaan memburukkan kerajaan.

Cubaan demi cubaan untuk memburuk-burukkan kerajaan dalam pemberian BR1M ini sememangnya tidak boleh diterima. Kerajaan telus memberi bantuan kepada rakyat, mengapa pula ada segelintir rakyat hendak menimbulkan persepsi yang tidak baik terhadap kerajaan?

BR1M dikatakan wang haram oleh segelintir yang menyokong Pakatan Pembangkang tetapi wang haram tersebut jugalah yang ditunggu-tunggu hingga sanggup beratur berjam-jam lamanya. Jika sudah dianggap haram, apakah pula hukumnya bila wang tersebut diambil dan digunakan untuk membeli barangan dapur bagi mengisi perut anak-anak?

Beri salah, tak beri pun salah. Bagaimana lagi harus dilakukan oleh kerajaan untuk membantu rakyat? Adakah dengan menyerahkan tampuk pemerintahan kepada Pakatan Pembangkang barulah kerajaan dikira telus membantu rakyat dan segala wang bantuan dikatakan halal?


SUMBER : Suara Generasi Baru

No comments:

Post a Comment