Sunday, 17 March 2013

Apa Itu ESSCOM & Kepentingannya Kepada Sabah

Baru-baru ini Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan kesediaan Kerajaan Pusat & Kerajaan Negeri Sabah untuk menubuhkan kawasan keselamatan khas di Sabah atau pun dikenali sebagai ESSCOM ( Eastern Sabah Security Command).

Insiden pencerobohan di Lahad Datu oleh pengganas Sulu serta pembunuhan ngeri enam orang anggota keselamatan di Semporna baru-baru ini menjadi faktor utama yang mendorong kepada penubuhan kawasan keselamatan khas ini.

Sebanyak lima batalion tambahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan bantuan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) akan di tempatkan di ESSCOM, manakala lima lagi Balai Polis akan di bina di Sabah bagi memperkukuhkan keselamatan orang awam dan ketenteraman negeri.

Kawasan keselamatan khas ini akan berpusat di Lahad Datu, sementara empat lagi daerah yang termasuk dalam ESSCOM ialah Kudat, Kunak, Sandakan dan Tawau, yang ke semuanya berada di pantai timur Sabah meliputi kawalan ketat sepanjang 1,400 kilometer.

Kawasan yang sebegini panjang dan luas sememangnya terdedah kepada risiko keselamatan dan pembentukan ESSCOM ini menunjukkan Kerajaan Pusat telah mengambil iktibar dari insiden pencerobohan itu sebagai pengajaran berguna.

Usaha menambah baik aspek keselamatan sempadan Sabah ini merupakan langkah pro aktif yang membuktikan keprihatinan Kerajaan dalam menjaga keselamatan rakyat negeri ini. Dari sudut lain, kebanjiran pendatang asing juga akan dapat dikekang.

Kewujudan ESSCOM juga selain bermatlamat untuk membendung pencerobohan di Lahad Datu dari terus berulang di masa depan, di masa yang sama ia meningkatkan keyakinan para pelabur yang sebelum ini telah menjauhkan diri berikutan insiden tersebut.

Sekitar tahun 1970-an dulu di Sarawak pernah wujud Markas Keselamatan Kawasan Rajang (RASCOM) yang terbukti berjaya menghapuskan ancaman pengganas komunis di Sarawak yang kemudiannya diikuti dengan limpahan keamanan dan tumpuan pembangunan ekonomi dapat dilaksanakan.

Justeru itu kewujudan ESSCOM di Sabah juga diyakini mampu mencapai matlamatnya sama seperti kejayaan RASCOM sekaligus mengembalikan semula ketenteraman dan merancakkan semula kegiatan ekonomi di negeri ini. - BeruangBiru

No comments:

Post a Comment